Sabtu, 22 Jun 2013

Yang dikejar tak dapat, yang dikendong berkeciciran


Kita kena korbankan sesuatu untuk dapatkan sesuatu

   Pernah dengar peribahasa yang dikejar tak dapat, yang dikendong berkeciciran. Lain kata, kita tak boleh dapat dua perkara dalam satu masa. Kita kena buang sikap tamak kalau tak mahu rugi sepenuhnya. Kita kena fikir betul-betul, hendak barang di tangan atau barang di depan mata?

   Kalau masih sayang barang di tangan, tinggalkan barang di depan kita. Kalau teringin barang di depan, letak dulu barang di tangan, baru senang nak ambil barang di depan. Kalau kita tamak haloba, belum tentu barang di depan dapat digenggam, barang di tangan belum tentu masih selamat.

   Begitu juga perkara sebegini berlaku dalam hidup kita. Kita tak dapat nak capai semua perkara dalam satu masa dengan satu cara. Lepaskan apa yang kita ada, berlari untuk dapatkan apa yang kita inginkan. Jika masa masih ada, cuba dapatkan balik barang yang tertinggal.

   Contohnya kita nak berkahwin dengan seorang gadis. Kita sedar nafsu dan perasaan dah tak dapat dikawal. Tapi pada masa sama kita sedar tanggungjawab kita akan bertambah. Ekonomi rumah tangga, ilmu dalam mengurus kehidupan bersama, dosa pahala isteri dan anak-anak semuanya jatuh atas kita. Jadi, kita kena lengkapkan diri kita dengan ilmu untuk mendidik keluarga, wang cukup untuk mengurus soal perbelanjaan, dan rumah sebagai tempat berteduh.

   Untuk capai ketiga-tiga perkara ini, dia kena korbankan masa dan ruang yang dimiliki sekarang supaya dia tak kelemasan nanti. Masa lepak dah dibuang. Hujung minggu dah tak goyang kaki di rumah. Duit sudah disimpan dalam bank, bukan lagi berjoli di shopping kompleks. Aktiviti merayau dah dikurangkan dengan menghabiskan masa di kuliah agama supaya diri yakin nak mengurus keluarga.

   Jangan sayang sangat untuk memerah keringat fizikal atau mental semata-mata nak bersenang-lenang sekarang. Cuba fikir, sempatkah seseorang yang nak cari ilmu, dan wang sedangkan dia seorang pelepak, lambat buat kerja, selalu bazirkan masa di shopping kompleks, duduk senang lenang di rumah, dan serta malas luang masa di kedai buku mencari panduan ilmu rumah tangga. Perkara yang dia hendak selalu tertangguh, perkara yang dia sedang lakukan tak selesa sebab belum sampai objektif lagi.


   Jika difikirkan betul-betul, kita memanfaatkan masa dengan betul. Kita ganti masa kita yang selama ni diisi aktiviti tak berfaedah dengan perkara yang baik. Yang penting, kita jangan bersikap tamak dan mementingkan diri. Nanti diri kita juga yang rugi. Sikap tamak buat kita semakin miskin sebab tak selalu cukup dengan apa yang ada. Kumpul dulu barang yang perlu. Lepas tu baru boleh cari barang seterusnya.

Tiada ulasan: