Rabu, 27 Februari 2013
Kejuruteraan bukan impian aku
Aku akui bidang kejuruteraan bukanlah impian aku. Tak pernah pula aku tulis pekerjaan sebagai jurutera dalam mana-mana borang yang ada kat sekolah. Ingat tak masa sekolah rendah dulu, ada satu kad merah/hijau yang merekodkan pasal keputusan peperiksaan kita. Belakang sekali kad tu ada tulis ulasan guru, ibu bapa, dan cita-cita pelajar. Masa tu aku tulis ahli bomba, novelis, doktor, dan lain-lain yang aku dah tak ingat. Entah apa-apa, kecil-kecil dah nak jadi penulis dah.
Masa naik tingkatan empat dan lima, aku rasa harapan aku lebih cerah dalam bidang kedoktoran. Tapi ada juga kawan-kawan yang tengok aku macam sesuai dalam bidang kejuruteraan. Okey, itu pandangan mereka, yang tu payah sikit nak ubah. Alih-alih, lepas dapat keputusan SPM 2011, aku pergi gatal tangan klik bidang kejuruteraan dalam aplikasi permohonan UPU ke universiti awam. Entah apa benda yang dah merasuk aku.
Sebab masa tu ramai kawan aku dah bercadang nak ambil bidang kejuruteraan. Alasannya bidang tu lebih relak bekerja dan banyak gaji yang masyuk. Kawan sekelas aku ada ajak pergi CFS IIUM (Centre Foundation Studies International Islamic University Malaya). Aku pun kata okey jerlah. Masa tu aku rasa lebih baik beramai-ramai daripada keseorangan. Rupa-rupanya aku keseorangan juga. Aku belajar di UIAM selama sebulan jer, pastu aku dapat tawaran pergi ke INTEC, di Shah Alam. Runsing juga aku mengenai tawaran ni. Dia bagitau hari Selasa dan terus daftar pada hari Jumaat. Aku pening sebab banyak borang kena isi, akaun bank baru kena buka, buat balik medical checkup, dan lain-lain.
Nasib baik aku ada telefon operator JPA mengenai perkara ini. Dia kata yang pasal borang ni boleh hantar lewat dari tarikh daftar. Medical checkup boleh buat masa tengah belajar dekat INTEC. Isi borang yang penting dulu macam borang pendaftaran dan pengakuan penerimaan biasiswa. Masa tu baru lega dekat hati ni. Apa-apa pun aku nak ucap terima kasih banyak-banyak kepada pak saudara aku yang banyak menolong aku masa sedang membuat urusan ke INTEC. Pak Beh dah banyak tolong aku tolong urus pasal borang yang melibatkan cop rasmi macam setem hasil LHDN dan cop rasmi saksi. Masa tu ayah aku tak dapat hadir ke Petaling Jaya sebab ada alasan tertentu.
Dah dua semester aku dah ada dekat INTEC ni. Setakat ni aku belum ada minat yang betul-betul serius terhadap bidang kejuruteraan. Aku belum pasti nak pilih bahagian apa. Automotif, petroleum, mekanikal, kimia, mekatronik, bendalir, makanan, atau beratus-ratus lagi cabang ranting dalam kejuruteraan ni. Aku rasa kena buat keputusan juga dalam akhir semester ni. Aku dah rasa malas dan takde semangat nak belajar. Mungkin ini disebabkan aku takde tujuan untuk belajar. Aku takde keinginan untuk belajar sebab lepas habis A-LEVEL, apa yang aku boleh buat? Buat perkara yang tak minat membuatkan aku takde semangat. Aku tak dapat nak paksa untuk menyukai kejuruteraan atau menikmati pembelajaran ini. Mungkin kalau aku ada hala tuju macam bidang yang nak dipilih, semangat yang berkobar-kobar akan datang balik dalam jiwa kosong ni.
Masa dekat UIAM aku ambil asasi sains fizikal. Kira ada kaitan dengan kejuruteraan tapi tak boleh ambil bidang kejuruteraan. Subjek jer engineering tapi masa degree hanya boleh ambil sains matematik, fizik atau kimia. Tapi masa aku belum betul-betul down sebab ada kawan-kawan. Malah kawan dari sekolah lama pun ada dekat situ juga. Tapi akhirnya aku juga keseorangan apabila datang ke INTEC. Ada juga budak sekolah dekat sini tapi budak perempuan kelas lain, kira tak rapat. Kalau jumpa pun tengok-tengok macam tu jer sebab tak pernah bertegur sapa sebelum ni.
Kejuruteraan bukan impian aku tapi bidang ni juga yang dapat terbangkan aku ke UK. Aku memang suka nak pergi oversea. Dulu aku ingatkan impian ke oversea hanya satu khayalan. Aku hanya sekadar syok sendiri apabila dengar cerita pengalaman daripada penceramah motivasi ke sekolah aku. Rupa-rupanya aku juga dapat turut berkongsi pengalaman ini secara langsung, realiti. Hanya masa menjadi penentu bilakah aku akan fly nanti. Nampaknya aku tak boleh pandang sepi dengan kejuruteraan.
Aku bukannya membenci engineering tapi cuma tak minat. Ia umpama memaksa kita mencintai gadis yang kita tak minat, hanya sekadar sahabat (friendzone). Tapi kalau ada usaha, cinta itu pasti hadir memekar dalam jiwa. Ermmmm, impian tak semestinya membahagiakan. Hahahha, dah dapat dah kata-kata motivasi itu.
Isnin, 25 Februari 2013
Laman sosial, mempermudah atau memperbodoh manusia?
Teknologi maklumat sentiasa berkembang, seiring dengan tahap globalisasi dunia. Maklumat amat penting untuk dihantar ke satu kelompok lain sebagai satu bentuk komunikasi. Dulu api pernah digunakan untuk menyampaikan maklumat tentang sesuautu perkara, contohnya ada musuh datang menyerang. Perkembangan teknologi maklumat seperti telegraf, kod morse telah berkembang dan berevolusi untuk mencapai tahap ketamadunan yang tinggi.
Tapi betul ke perkembangan teknologi maklumat sekarang sejajar dengan kebaikannya sekali? Kini hampir setiap orang memiliki telefon bimbit. Paling kurang ada dua biji di tangan. Komputer amat mudah untuk dicari. Tablet semakin laris di pasaran. Adakah inovasi gadjet canggih ini mampu memenuhi keperluan bentuk komunikasi sihat yang kita idamkan?
Percayalah, peralatan teknologi sekarang begitu canggih. Kita dapat menghantar maklumat dengan pantas tanpa sebarang kos tambahan. Semuanya mudah dan senang, tekan saja di hujung jari. Semuanya mampu melakukannya. Ledakan laman sosial seperti Facebook, Twitter, Whatsapp dan lain-lain telah menyebabkan komunikasi antara kita semakin tidak terbatas dan berkembang pantas dalam kelompok tersebut. Tapi disebabkan gadjet sebegitu, kebodohan kita semakin teserlah.
Cuba tengok status muat naik di laman sosial. Kebanyakkanya bersifat provokasi dan bersifat meraih populariti. Pelbagai jenis status ditulis untuk merebut gelaran orang paling terkenal di laman sosial. Mereka sudah ketagih untuk sentiasa muat naik apa sahaja yang terlintas di fikiran mereka. Tapi sayangnya lintasan di fikiran mereka hanyalah sampah semata-mata dan tidak ada faedah pun yang dapat dikutip. Hanya perasaan bangga menjadi orang aktif di laman sosial yang diutamakan.
Teknologi tidak sepatutnya dicipta untuk mengatasi atau melumpuhkan keupayaan interaksi antara kita. Teknologi seharusnya memudahkan kita agar kita dapat menikmati kehidupan yang lebih baik dan selesa. Tapi itu hanya angan-angan dan berlawanan yang berlaku sekarang ini. Mereka bebas untuk memuat naik segala jenis komen pedas dan berbaur hasutan. Mereka mengatakan itu hak kebebasan untuk meluahkan segala isi hati yang terpendam dalam jiwa. Mereka tidak sedar itulah yang membuatkan mereka nampak bodoh dan tidak bijak.
Fitnah mudah bertebaran dalam laman sosial untuk menghangatkan lagi suasana. Cerita-cerita direka untuk mencari kepuasan diri. Alasannya hanya untuk bergurau dan main-main saja. Tapi fitnah tetap fitnah, dosa dan keburukannya tetap ada menanti. Kecepatan dan kepantasan maklumat bergerak sekarang ini menyebabkan mereka tidak mampu fikir masak-masak tentang risiko apa yang mereka buat. Maka timbullah sekelompok manusia yang sesuka hati mengutuk dan menghina orang lain.
Medium yang selama ini direka untuk memudahkan berita-berita semasa disampaikan telah disalahguna. Mereka yang salah menggunakan nikmat ini tak dapat ditegur dan dinasihati. Pantang saja mereka akan melenting dan mula menjerit hak kebebasan suara. Itu semua bodoh saja dan sia-sia. Hak kebebasan kita yang sebanarnya ialah menghormati provasi orang lain dan cuba menjaganya darpada tercemar.
Jadi, apa yang patut kita buat? Padam semua laman sosial? Hapuskan gadjet-gadjet? Tidak, bukan itu caranya. Cara yang paling ampuh sekali ialah ubah diri kita. Cuba jadi orang yang baik, sebaik-baik manusia di sisi tuhan dan makhluknya. Muhasabah diri tiap hari. Paling tidak pun tanya kawan baik tentang perubahan yang boleh kita lakukan untuk kebaikan bersama.
Percayalah kita mampu berubah untuk jadi baik kerana asal kita sejak dari kecil, memang bersifat baik. Oleh sebab itulah budak-budak kecil disukai dan mampu mengembirakan hati bu bapa kerana sifat baiknya. Maka kita perlu mematangkan diri lagi untuk persiapan ke arah lebih dewasa. Perubahan itu hanya boleh dilakukan dengan hati yang nekad, usaha yang bersungguh-sungguh dan dorongan postif kawan-kawan baik.
Sabtu, 23 Februari 2013
duit untuk belajar
Zaman belajar di universiti memang memerlukan banyak komitmen, lebih-lebih lagi tentang duit. Masa sekolah menengah kita kurang sikit guna banyak duit sebab takde ruang kebebasan nak pergi ke mana-mana, terutamanya untuk budak yang belajar kat sekolah berasrama. Bezanya masa kita dekat universiti, kebebasan diberi seluas-luasnya, tanpa kongkongan ibu bapa dan pensyarah. Duit kat tangan memang dah banyak pegang kat tangan sebab ibu bapa dah letak kepercayaan kepada kita. Mereka yakin yang kita boleh urus duit dengan baik.
Betul ke yang kita pandai urus duit. Sehari kita pergi sekolah paling kurang dapat RM2 sehari. Sebulan rasanya dah jadi RM60. Tapi apabila saje kau melangkah ke dunia asasi atau diploma, automatiknya nilai sebulan akan naik. Paling kurang pun RM200. Tiga kali ganda dari apa yang kita dapat dulu. Tapi percayalah nilai dua ratus ringgit tu tak cukup nak tampung hidup kau sorang-sorang kat tempat belajar, khusus lagi yang belajar di sekitar bandar. Sehari makan paling kurang RM10. Kalau sebulan dah jadi RM300. Jadi mak bapak paling kurang akan bagi RM100 seminggu untuk tanggung makan minum kita yang tengah berdikari dekat tengah bandar ni.
Tentang harga makanan mahal tu memang kita tak boleh cakap apa-apa sebab di luar bidang kemampuan. Kau buat mogok pun depan kedai tu, ramai lagi pengunjung yang akan datang. Tuan kedai pun tak kisah sebab banyak lagi orang yang nak datang makan dekat kedai dia. Maka kita ni kena pandai-pandai cari kedai murah. Menu pun kena pilih yang berpatutan bukannya asyik nak mewah makan yang campur banyak lauk. Kalau seminggu sekali okey juga. Kalau kau pergi makan dekat kedai mamak/bistro memang tak boleh kata apa-apa tentang harganya. Memang mahal siout sikit harganya. Sekali makan boleh cecah paling minima RM7. Padahal lauk biasa saje. Rasanya kalau kau cari kedai Melayu biasa dah boleh dapat harga RM3.50.
Serius aku cakap yang budak-budak lepasan sekolah yang sambung belajar kena pandai urus duit. Banyak godaan yang dia akan terima. Takde mak bapak datang nak halang kita beli benda yang bukan-bukan. Paling teruk lagi dapat kawan yang suka hasut kita beli benda yang takde faedah. Semata-mata nak tunjuk mewah. Biar papa asal kedana. Baru separuh bulan dah makan maggi. Makan maggi ni amat tak baik sebenarnya untuk kesihatan kita. Kau makan maggi paling kurang kena tunggu dua hari baru boleh makan balik. Badan kita perlukan masa dua hari untuk singkirkan benda-benda kotor dalam maggi yang beredar dalam sistem peredaran darah kita.
Percayalah yang kita kadang-kadang gelap mata apabila dapat pegang banyak duit kat tangan. Rasa macam kena hipnotize. Kaki pula rasa gatal nak pergi jalan-jalan di shopping mall. Tengok-tengok ada promosi murah. Uuiihhhhh, lagi rasa terbuak-buak hati nak beli. Dari nilai RM50 terus turun jadi RM5 dalam poket. Masa tu baru nak menyesal. Kalau nak telefon ayah suruh bank in memang rasa segan gila. Malu kalau ayah tiap-tiap masa kena bank in duit. Akhirnya ke shopping mall juga duit tu mengalir.
Satu lagi jenis yang ada awek. Fuhh, ada awek walau mengaku islam. Rasanya ramai orang dah tahu yang budaya couple ni haram sebab mengalakkan bibit-bibit awal zina. Dalam islam, bercinta tu harus, berkahwin tu satu fitrah, tapi untuk buat maksiat tu haram. Apabila kau dah couple, automatiknya kau macam ada hak nak pegang tangan, mesej cintan cintun, pegan sikit-sikit mana yang patut. Paling teruk dah ada niat nak merogol dengan penuh rela, baik yang lelaki atau perempuan. Ada awek ni, kau kena tanggung top up dia, supaya tiap-tiap hari boleh mesej dan call. Setiap kali keluar mesti pergi makan di KFC, McD, restoran. Malulah kalau ajak awek makan kat gerai biasa. Paling terdesak pun pergi burger bakar kat Seksyen 7. Hari Valentine kena bagi hadiah. Hari jadi kena bagi hadiah. Kalau masa merajuk kena bagi hadiah. Kalau keluar dating mesti ada 'ole-ole' sikit untuk orang tersayang. Dah banyak dah duit kau habiskan untuk orang yang belum tentu akan bersama dengan kita. Lagipun kau takde hak dan tanggungjawab nak tanggung dia.
Tu baru budak yang status biasa. Budak-budak yang dapat biasiswa atau elaun KPT lagi mewah. Satu semester dapat RM2000. Tangan asyik gatal nak beli itu dan ini. Handset pun rancang nak ambil yang ada android, window atau iphone. Memang tak sia-sia orang tu bagi biasiswa dekat kau.
Kita kena ingat duit yang kita ada ni untuk kegunaan belajar. Mak ayah bagi kita duit sebab kita nak sambung belajar. Kita ada elaun sebab nak sambung belajar. Kiranya duit tu untuk faedah belajar dan sampingannya. Kita kena kurangkan benda yang takde faedah. Jangan asyik bermewah nak beli yang bukan-bukan. Utamakan perkara yang penting dulu. Jangan kebulur kelaparan sebab nak hidup mewah. Bergaya tak guna kalau sengkek. Orang padang sekejap jer apa yang kita ada tapi kesannya berpanjangan terhadap kita. Hidup boleh merana kalau asyik ikut kehendak nafsu.
Ikut hati mati, ikut rasa binasa, ikut nafsu lesu. Kita ni dah ada akal. Fikiran kita jauh lebih cerdik. Orang terpelajar macam kita kena guna banyak otak untuk urus hidup kita. Tiap hari kena buat muhasabah diri. Fikir adakah hidup kita di atas garis syariat islam. Adakah perbuatan aku hari ni menepati kehendak hukum-hukum islam. Jangan perasan yang kita bukan ulama, kita tak perlu buat benda agama. Sekali kau mengaku tiada tuhan selain Allah, Nabi Muhammad saw itu persuruh Allah, kau sudah pun harus mengikuti segala peraturan dalam islam. Peraturan tu kita nampak banyak bagi orang malas, tapi rupa-rupanya praktikal dan mudah diamalkan serta senang sahaja nak ikut semua.
Pilihan itu atas hati kita. Baik atau buruk. Maka Allah pun ada pilihan terhadap kita. Syurga atau neraka.
IELTS speaking test
Korang tau apa benda yang aku paling benci? Aku benci untuk bercakap, lebih-lebih lagi dalam bahasa asing, yang bukan menjadi bahasa lidah aku. Setakat ni aku memang anti dengan bahasa inggeris, rasanya tak patutlah sebab lepas ni aku akan sambung belajar dekat United Kingdom. Kelakar siout, budak yang tak pandai cakap bahasa inggeris, dapat markah rendah dalam subjek inggeris SPM, tiba-tiba dapat offer pergi buat sarjana muda di UK/USA. Aku rasa betul ke tak ni, JPA dah siasat betul-betul ke siap aku yang sebenarnya. Aku bukannya seorang pengganas atau pembelot duri dalam daging. Aku hanyalah seorang budak yang lemah dengan bahasa, walaupun dengan bahasanya sendiri.
Petang tadi aku ada ambil IELTS speaking test dengan kawan-kawan. Lepas solat jumaat dekat Seksyen 17, aku pun terus balik semula ke INTEC, nak buat persiapan la kononnya. Tapi aku lambat sikit nak sampai INTEC tu sebab tok imam solat lama sangat. Rasanya memang sunat pun solat jumaat kena panjang, khutbah kot yang kena pendek, pasal aku tengok semua jemaah dah tersengguk-sengguk. Ada yang tidur, kepala ke bawah, badan tunduk menyembah lantai masjid.
Sampai dekat INTEC tu, takde lagi kawan-kawan lain. Kiranya aku bersama 4 sahabat lain jer yang dah ada situ. Aku memang berlagak macam tak kisah dengan test. Aku buat main-main. Aku mana pernah belajar nak serius dalam sesuatu perkara. ASyik nak main jer, hidup macam tak guna. Serius aku ada juga fikir macam tu. Masa tu aku memang dah pasrah gila-gila, siap target dapat markah rendah. Paling tinggi band pun 4. Itu pun kalau lecturer baik sangat. Rasanya tak kot sebab budak-budak semua ni kena hantar oversea, jadi kena pilih yang terbaik.
Giliran orang pertama ambil test tu pada waktu petang adalah aku. Rasa cam gementar juga jadi orang pertama. Kalau ikut senarai nama asal aku orang yang ke sembilan. Entah macam mana nama aku boleh 'naik takhta' ke nombor satu. Lepas pukul tiga petang lebih sikit, lecturer pun datang masuk dalam kelas aku. Aku tengok muka lecturer pun dah rasa cuak. Masa tu baru datang rasa cuak, takut, gementar dan trauma yang berpanjangan. Okey, itu melampau. Disebabkan aku nombor satu yang mula-mula kena ambik test tu, terpaksa juga aku gagahi langkah ini ke pintu kelas aku. Ada juga aku buat skill ngasas dengan jatuh depan pintu kelas tapi itu hanya troll untuk mengelakkan rasa takut.
Aku melangkah masuk ke dalam kelas. Aku duduk di hadapan meja lecturer. Jarak kami mungkin hanya berkisar 1 meter sahaja. "Are you ready?". "Ready for what? PSY or %^&$$&?". Okey, tu gurau bodoh jer. "Please introduce yourself." Soalan ni aku jawab ringkas jer, malas nak terang panjang-panjang. "Desribe about your hometown." Serius, aku tak tahu banyak pasal tempat tinggal aku. Aku pun terus terang yang aku tak tahu tentang tempat tinggal sendiri. Dia pun suruh aku hurai pasal negeri Terengganu. Aku cakap 3,4 ayat, terus cakap ok, fine.
Masuk bahagian kedua, dia suruh cakap pasal haiwan dan apa yang menarik mengenainya. Aku pun terus dapat idea spontan pasal ni. Mentang-mentang banyak kucing dekat Seksyen 6, kucing tu dah macam pengunjung tetap dalam bilik aku. Siap boleh tidur lena lagi atas karpet. Ada juga kucing-kucing nakal datang buat kacau dekat tong sampah. Habis berterabur sampah-sampah atas lantai. Part ni kena cakap dalam masa dua minit tapi aku berjaya habiskannya dalam masa kurang seminit. Hebat tak??
Aku rasa bahagian ketiga lagi seronok. Semuanya tentang pendapat. Yang bagusnya pendapat aku tentang isu tersebut memang betul dan tepat. "Animal as a experiment subject". "Animal as an entertainment purpose." "Human view about animal, do they respect animal?" Hahaha, aku rasa macam boleh jawab soalan ni tapi hakikatnya aku tak beberapa boleh jawab. Vocab aku kurang. Kalau vocab aku banyak, gerenti aku cakap laju, straight, fluently, penuh yakin, dan lama. Tapi nak buat macam mana kalau orang memang dah malas nak baca buku inggeris. Terima jerlah hakikatnya yang kau tergagak masa nak cakap tadi.
Aku akui, aku memang benci test terutamanya yang melibatkan speaking. Serius aku sanggup ambik writing test daripada kena cakap. Fitrah aku memang benci nak cakap dengan orang lain, cakap dengan sendiri jer yang rasa okey. Tapi kena dapat cemerlang gak IELTS ni.Hal ni memang kena usaha lebih-lebih. Okey, untuk test akan datang, aku akan cakna dan pandang lebih serius. Semestinya aku kena ambil tindakan lebih cekap. Umpama slogan PDRM, 'mesra, cekap, amanah."
Khamis, 14 Februari 2013
Malas Segalanya
Semenjak kebelakangan tahun ni, aku asyik malas jer. Aku rasa jadi malas sejak masuk BRaInS lagi. Sebab dekat BRaInS aku dah tak produktif lagi. Kiranya aku takde sumbangan apa-apa untuk dibanggakan di bumi BRaInS. Orang kata kalau duduk di sekolah berasrama penuh, kita akan jadi rajin buat latihan, cikgu suka buat kelas tambahan, wajib masuk acara sukan, dan macam-macam lagi aktiviti untuk memenatkan para pelajar.
Alih-alih, tengok semuanya jadi tak seperti yang aku gambarkan. Rupa-rupanya tinggal di bumi ini yang menyebabkan aku jadi semakin malas. Cikgu jarang masuk kelas. Kerja sekolah sikit, kalau tak buat pun takpe. Kelas tambahan ala kadar jer. Sukan tak payah masuk kalau tak pandai. Kesudahannya satu apa pun bakat aku tak berkembang. Lama-lama aku fikir yang aku ni takde bakat. Orang lain tengok aku sekadar budak pandai, yang boleh sasar target straight A. Walhal aku gagal capai straight A. Subjek Inggeris menjadi halangan kepada aku, suatu subjek musuh tradisi sejak sekolah rendah lagi.
Aku ingatkan kegagalan yang disebabkan subjek Inggeris tak mampu bawa aku ke mana-mana. Rupa-rupanya aku dapat tawaran ke Amerika/United Kingdom. Tak percaya betul sebab aku ni dah kira gagal sebab dapat B+ Inggeris. Ramai lagi orang yang dapat straight A. Masa aku duk kat CFS IIUM, aku dapat tahu ramai pelajar straight A dan bijak-bijak semua. Bijak dan rajin satu pakej yang sangat menarik.
Penyakit malas aku ni belum lagi hilang biar dah pun melangkah ke semester kedua di INTEC. Banyak assignment tak buat. Tutorial belum buat lagi. Ulangkaji nota lepas belum lagi. Lepas ni ada mid sem exam. Memang masak la aku ni. Pelajaran lepas belum hadam lagi. Pelajaran sekarang tak faham lagi. Ish ish ishhh. Kenapa aku rasa semakin pelik dan malas dengan aku ni???
Aku rasa semua topik yang cikgu ajar ada kaitan dengan SPM. Cuma dia tambah sikit-sikit. Kira kalau dah ada basic dah okey untuk belajar sorang-sorang. Tapi masalahnya bila aku dengar cikgu ajar, aku jadi makin tak faham. Apa yang cikgu terangkan aku jadi keliru. Oleh sebab rasa tak faham tu aku tak nak buat semua kerja dan tutorial yang berlambak tu. Akhirnya padan muka dan kelam kabut bila exam dah datang.
Aduhhh, aduhh, aduhhhh!!!! Bilalah aku nak insaf ni???
Langgan:
Ulasan (Atom)



