Minggu lepas aku ada pergi kursus BTN (Biro Tata Negara) dekat Ulu Kenas di Kuala Kangsar bandar diraja Perak. Bermula hari isnin sampai ke jumaat, aku berkursus selama lima hari dengan penuh bersemangat. Sejujurnya inilah kursus/kem yang memberi makna mendalam bagi aku. Haha, macamlah aku ada pergi banyak kem aktiviti sebelum ni.
Perkara yang menarik di kem Ulu Kenas adalah sungainya tapi tak adalah jernih sangat. Airnya agak keruh dan keadaan sungai boleh dilihat berbahaya dengan batu-batuan besar. Perkara yang tak seronok di sini adalah tiada liputan. Celcom, Maxis hatta Digi sekalipun tak boleh tembus kawasan perhutanan sini. Kem sini bersambung dengan kawasan jabatan perhutanan.
Selama lima hari kami 'disibukkan' dengan aktiviti ceramah, nama manjanya ialah 'wacana minda'. Semasa wacana minda juga aku akhirnya boleh juga menonton filem 1957: Hati Malaya. Aku sebelum ni tak pernah tengok filem itu sebab fikir membosankan dan anggap sekadar perfileman cerita bagai melepaskan batok di tangga. Hanya penambah kemeriahan di bulan merdeka. Rupanya filem ni taklah bosan sangat dan mudah untuk memahami jalan cerita. Cuma rasanya banyak elemen jalan cerita yang hilang dan garapan suasana masyarakat kurang didedahkan.
Kemudian kami ada aktiviti diskusi dalam kumpulan. Kami 'berbual' mengenai topik perlembagaan negara. Kami belajar perkara-perkara yang terkandung dalam perlembagaan dan definisinya. Perlembagaan lebih menekankan keadilan sosial berbanding hak sama rata dalam semua kaum. Jadi kau akan faham sedikit hak orang melayu di semenanjung dan hak anak bumiputra di Sabah dan Sarawak. Dalam diskusi kami yang ada 'sembilan slot', ada juga topik panas yang aku terkejut tapi masih boleh kawal diri apabila abang facilitator tiba-tiba jadi bersemangat dan bersungguh-sungguh menerangkannya. Maklumlah, mungkin dia tak nak tengok kami menyertai perhimpunan haram.
Sayangnya kami tiada aktiviti fizikal yang lasak. Aktiviti yang memenatkan tu adalah iaitu kawat kaki dan gerak wira. Setiap petang kami berlatih gerak wira disebabkan ada pertandingan. Yang paling aku tak percaya adalah kumpulan aku menang. Iyalah, berlatih sekali jer, itupun dalam kelas. Mungkin sebab kami buat line up double V. Kumpulan apa? Kumpulan lima! Yeah, Saddip 5!
Balik dari BTN tak semestinya korang akan jadi 'macai'. Tahu tak apa itu macai? Diringkaskan mengikut pemahaman aku macai adalah orang yang malas berfikir, tak mahu terima pandangan orang lain, hanya dirinya saja betul dan menyokong sesuatu tanpa membuat usul periksa. Itulah macai mengikut kamus definisi aku.
Kesan pertama dari kem BTN adalah semangat patriotik mula 'mencanak naik'. Bukannya maksud patriotik tu aku dah jadi penyokong parti politik dan akan undi depa untuk teruskan tradisi kemenangan. Maksud aku dah mula sayangkan negara dan tanggapan buruk mengenai negara. Bab parti politik aku belum jelas lagi dari kedua-dua pihak jadi aku tak nak jadi penyokong tanpa sebab atau hanya sekadar ikut kawan. Iyelah negara luar pun ada buruknya. Tapi kebaikan negara luar kita hebahkan dan keburukan negara sendiri kita jajakan.
Kesan patriotik tu sangat berkesan aku rasa sebab ada member dah start beli kad sim Altel. Haha, kuat gila penangan BTN. Aku bab membeli tengok kualiti dulu baru ada kepercayaan. Aku tak kisah kalau ada orang beli sesuatu produk sebab patriotik tapi jangan terlalu taksub perkauman melampau.
"Jadilah pokok yang berbuah lebat, dilemparnya batu, dibalas pula dengan buahan manis."
posted from Bloggeroid