Kahwin campur
bukanlah satu perkara asing dalam amalan kehidupan kita. Malah tidak
keterlaluan kahwin campur dianggap sebagai ‘amalan global’ yang menghubungkan
dua dunia yang berbeza. Kahwin campur bukanlah satu perkara yang haram dan
tidak pula mendapat tentangan daripada mereka yang arif dalam soal perkahwinan,
asalkan syarat-syarat dalam islam dipatuhi.
Sama ada kahwin
campur didirikan atas cinta murni atau permintaan keluarga, amalan sebegini
tidak jauh beza dengan perkahwinan biasa yang kita boleh jumpa ketika waktu
kenduri. Asasnya perbezaannya hanya terletak pada bangsa, adat, budaya atau
agama. Malah kahwin campur selalu dianggap sebagai salah satu langkah untuk
melahirkan keturunan yang bijak.
Walau bagaimana pun,
kahwin campur juga mempunyai kesan-kesan negatif terhadap pasangan, keluarga
atau anak-anak. Malah keburukan kahwin campur lebih bahaya kerana melibatkan
jurang perbezaan adat dan agama. Masalah dalam kahwin campur lebih meruncing
kerana membabitkan pertembungan dua watak dunia yang berbeza daripada apa yang
mereka amalkan dan percaya.
1. Perebutan anak hasil perkongsian hidup pasangan terbabit selepas bercerai
Salah satu keburukan
kahwin campur adalah perebutan anak hasil perkongsian hidup pasangan terbabit
selepas bercerai. Biasanya anak adalah mangsa utama dalam ‘jenayah’ perceraian.
Macam mana jika pasangan itu terdiri daripada lelaki Melayu atau wanita
Perancis? Ke manakah harus anak itu pergi, ikut bersama bapa di Malaysia atau
terus menetap di Perancis?
Sadisnya, salah satu
daripada pilihan itu akan menyebabkan anak terpisah kasih daripada salah
seorang daripada mereka. Faktor jarak dan masa serta kos menyebabkan rindu itu
bertambah dalam kerana kekangan faktor itu. Kemungkinan besar peluang untuk
anak berjumpa balik dengan ayah atau ibu sangat tipis dan perpisahan ini akan
melukakan hati mereka.
2. Konflik rumah tangga dalam kahwin campur mungkin boleh menular menjadi isu diplomatik antara dua negara
Bukan itu sahaja,
konflik rumah tangga dalam kahwin campur mungkin boleh menular menjadi isu
diplomatik antara dua negara. Perkahwinan antara pasangan berbeza warganegara
akan menimbulkan masalah di masa depan contohnya jika berdepan dengan kemelut
keganasan rumah tangga atau perceraian.
Jika si suami
melakukan keganasan dan bakal dihukum, soalnya negara mana yang patut mengambil
tanggungjawab tersebut? Adakah suami perlu dijatuhkan hukuman mengikut negara
yang dia miliki status warganegara atau negara di mana dia melakukan jenayah
rumah tangga? Hal ni boleh menjadi lebih teruk jika mendapat perhatian media
dan disebarkan kepada umum dengan serius, seola-olah ini adalah satu kes besar.
Kemungkinan besar
rakyat bagi si isteri akan melakukan demostrasi bagi membantah jenayah ini.
hubungan diplomatik akan terganggu sekejap sehinggalah kes ini selesai di
mahkamah.
3. Mendapat tentangan daripada pihak keluarga
Perkahwinan campur
sama ada melibatkan berlainan agama atau bangsa sepastinya akan mendapat
pertentangan daripada keluarga atau cemuhan masyarakat. Keluarga lebih suka jika
anak-anak mereka berkahwin dengan pasangan yang sama agama dan bangsa.
Perbuatan yang keluar daripada norma adat kehidupan seharian pasti akan membawa
tanda tanya oleh semua orang.
Keluarga selalu
menganggap kahwin campur akan memberi malu besar terhadap mereka dengan alasan
tidak pandai mendidik anak sehingga anak berkahwin dengan orang luar. Sedangkan
tiada keaiban yang jelas jika berkahwin dengan bangsa lain asalkan menganut
agama islam. Tiada larangan jelas bahawa perkahwinan itu haruslah didirikan
oleh pasangan yang sama bangsa.
Malah masyarakat
juga menganggap kahwin campur tidak bahagia dan selalu bergaduh sehingga
membawa kepada perceraian. Tapi mereka lupa bahawa faktor perceraian adalah
melibatkan ketidaksefahaman antara pasangan dan tiada persediaan secara mental
fizikal, bukannya kerana perbezaan budaya atau adat.
Pasangan berkahwin
campur selalu mendapat masalah daripada keluarga dan masyarakat yang berfikir
cetek dan ketinggalan zaman. Mereka bimbang jika dipulau oleh keluarga dan tidak
dipedulikan lagi. itulah senario orang yang berkahwin campur menyebabkan mereka
ragu-ragu untuk mencari pasangan berlainan bangsa atas faktor sekeliling yang
kurang berfikir mengenai perasaan orang lain.
4. Mereka akan mengalami masalah untuk menerima sesetengah adat dan amalan yang si pasangan lalui
Biasanya mereka yang
berkahwin campur akan mengalami masalah untuk menerima sesetengah adat serta
amalan yang si pasangan atau masyarakat di sana lakukan. Bagi orang timur,
kelakuan amalan yang bertentangan dengan nilai ketimuran seperti minum arak,
berzina, curang, dan lain-lain akan menakutkan mereka. Kita sudah sedia maklum
ada beberapa adat dan budaya barat yang amat tidak selari dengan tuntutan agama
dan dikaitkan dengan maksiat serta dosa.
Mereka tak bersedia
untuk menerima kejutan budaya yang sepastinya amat bertentangan dengan ajaran
dalam islam dan adat Melayu. Pergaduhan dan pertengkaran akan berlaku
disebabkan masalah ini yang tidak kesefahaman mengenai adat dan amalan
masing-masing. Malah, jika adat di barat dikaitkan dengan budaya zina, mampukah
si suami menerima hakikat adalah seorang yang bukan sudah anak dara?
Atau mampukah si
isteri menerima seorang suami yang pemabuk dan sering balik lewat malam?
Kegagalan untuk serasi dengan adat yang berbeza atau tiada ketahanan diri untuk
mencegah diri daripada amalan buruk di sana pasti akan memburukkan suasana
dalam awan perkahwinan.
5. Komitmen suami terhadap isteri yang baru memeluk islam
Apakah komitmen
suami terhadap isteri yang baru memeluk islam? Biasanya mereka yang berbeza
agama akan memilih jalan memeluk islam supaya mudah berkahwin dengan orang yang
dicintai. Pengislaman seseorang bukan sahaja atas dasar cinta atau kahwin, tapi
perlu juga disertakan dengan kepercayaan dan akidah yang betul.
Di sini suami
membawa peranan penting untuk memastikan keislaman si isteri benar-benar kuat.
Masalahnya sudah terlalu banyak kes yang berlaku di mana pengislaman hanya atas
dasar untuk berkahwin bukan untuk diamalkan.
Hasilnya, kehidupan
seorang isteri masih lagi terbabit dalam budaya hedonisme dan jauh bercanggah
dengan anjuran islam. Perkara-perkara haram yang pernah dilakukan masih belum
ditinggalkan disebabkan si suami tiada komitmen untuk memastikan si isteri
adalah seorang muslimah sejati.
Perkahwinan mereka
bukan untuk melahirkan zuriat mulia atau membawa saudara baru atau muallaf
untuk menikmati kemanisan islam. Sebaliknya perkahwinan itu hanya atas dasar
nafsu untuk memuaskan syahwat masing-masing. Paling teruk sekali, si suami juga
turut terjebak dengan perkara kotor yang dilakukan oleh isteri. Sebaiknya, si
suami perlu ada ilmu rumah tangga yang cukup agar diri-diri benar mantap untuk
membimbing isteri mengenali cahaya islam dan masuk ke dalam cahaya.
Secara asasnya, kahwin
campur juga mempunyai keburukan di mana lebih bersifat perbezaan adat dan gaya
hidup. Malah akidah dan kepercayaan juga boleh tergugat jika iman di hati tidak
kuat dan diri tidak berusaha lari daripada kerja maksiat. Sebenarnya,
perkahwinan biasa sesama bangsa atau agama juga mempunyai kesan negatif yang
hampir lebih kurang sama.
Cumanya, kahwin
campur lebih dilihat menuju kegagalan disebabkan jurang antara kaum dan agama
yang sering terjadi dalam masyarakat di Malaysia. Oleh sebab itu kahwin campur
perlu diberi lebih perhatian agar tiada masalah mendatang di masa depan.
6. Masalah perbezaan agama atau bangsa
Islam merestui
perkahwinan antara lelaki dan perempuan untuk melaksanakan tuntutan syariat dan
sunnah-sunnah Rasulullah SAW. Perkahwinan itu sah jika kedua-duanya menganut
agama islam dan tiada masalah akan datang pada masa depan.
Bagaimana jika salah
seorang adalah bukan islam, sama ada pada bakal pengantin lelaki atau
perempuan? Adakah perkahwinan itu sah atau terbatal atau ada jalan lainkah
untuk menyelesaikannya? Untuk menyelesaikan masalah ini, kita perlu merujuk
kembali pada hukum feqah.
Secara dasarnya,
wanita muslim tidak halal kahwin dengan laki-laki bukan muslim, baik ia seorang
musyrik (atheis) atau beragama Hindu, Kristian, Buddha, dan lainnya atau dari
ahlul kitab.
Hal ini kerana orang lelaki mempunyai hak kepimpinan terhadap isterinya dan
isteri wajib taat padanya. Masalah akan berlaku jika lelaki bukan islam tetapi
isterinya adalah seorang muslimah.
Maka tidak boleh
orang kafir atau musyrik menjadi pemimpin dan menguasai wanita yang
mengucapkan, “Laa ilaha ilallah, Muhammad Rasulullah Saw.” Isteri akan
mengalami kesukaran untuk menjadi kehidupan sebagai seorang seorang muslimah
kerana tidak mempunyai kuasai bagi dirinya dan suaminya.
Dalil mengenai hal itu adalah firman Allah SWT:
Terjemahan:
“Wahai orang-orang yang
beriman! Apabila orang-orang perempuan yang mengaku beriman datang berhijrah
kepada kamu, maka ujilah (iman) mereka: Allah lebih mengetahui akan iman
mereka: dengan yang
demikian, sekiranya kamu mengetahui bahawa mereka beriman, maka janganlah kamu
mengembalikan mereka kepada orang-orang yang kafir. Mereka tidak halal bagi
orang-orang kafir itu (sebagai isteri), dan orang-orang kafir itu pula tidak
halal bagi mereka (sebagai suami). Dan berilah kepada suami-suami (yang kafir)
itu apa yang mereka telah belanjakan. Dan tidaklah menjadi salah kamu berkahwin
dengan mereka (perempuan-perempuan yang berhijrah itu) apabila kamu memberi
kepada mereka maskahwinnya. Dan janganlah kamu (wahai orang-orang Islam) tetap
berpegang kepada akad perkahwinan kamu dengan perempuan-perempuan yang (kekal
dalam keadaan) kafir, dan mintalah balik maskahwin yang kamu telah berikan, dan
biarkanlah mereka (suami-suami yang kafir itu) meminta balik apa yang mereka
telah belanjakan. Demikianlah hukum Allah; Ia hukumkan di antara kamu (dengan
adil). Dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.”
(Surah Al-Mumtahanah:
10)
Terjemahan:
(Mereka yang munafik
itu ialah) orang-orang yang sentiasa menunggu-nunggu (berlakunya sesuatu)
kepada kamu; maka kalau kamu mendapat kemenangan dari Allah (dalam sesuatu
peperangan), berkatalah mereka (kepada kamu): "Bukankah kami turut
berjuang bersama-sama kamu? (Oleh itu kami juga berhak menerima bahagian dari
harta rampasan perang)". Dan jika orang-orang kafir pula mendapat bahagian
(yang menguntungkan dalam peperangan), berkatalah mereka (kepada orang-orang
kafir itu): "Bukankah kami turut membantu kamu dan mempertahankan kamu
dari (serang balas) orang-orang yang beriman (dengan mendedahkan rahsia
perpaduannya)?" Maka Allah akan menghakimi di antara kamu semua pada hari
kiamat; dan Allah tidak sekali-kali akan memberi jalan kepada orang-orang kafir
untuk membinasakan orang-orang yang beriman.
(Surah An-Nisaa’: 141)
Tapi masalah ini
tidak pula berlaku kepada lelaki muslim kerana mereka mempunyai kuasa
kepimpinan terhadap isteri. Jadi mereka boleh mengahwini perempuan muslimah
atau ahli-ahli kitab. Seharusnya mereka mempunyai ilmu dan keyakinan tinggi
dalam urusan mendidik isteri untuk mendekati serta lebih mendalami agama islam.
Merujuk kepada Seksyen 10 (1) Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan), 1984, peruntukan Seksyen tersebut
memperuntukan bahawa “Tiada seseorang
lelaki boleh berkahwin dengan seseorang bukan Islam kecuali seorang
`Kitabiyah'.” Di dalam mentafsirkan `Kitabiyah' Seksyen 2 Akta tersebut
menyatakan bahawa `Kitabiyah'adalah:
(a) Seorang perempuan dari keturunan Bani Ya'qub; atau
(b) seorang
perempuan nasrani dari keturunan orang-orang nasrani sebelum Nabi Muhammad
menjadi Rasul; atau
(c) seorang
perempuan Yahudi dari keturunan orang-orang Yahudi sebelum Nabi Isa menjadi
Rasul.
Manakala bagi Seksyen 10 (2) pula, ia
menyatakan bahawa “ Tiada seseorang perempuan boleh berkahwin dengan seseorang
bukan Islam.” Oleh kerana setiap perkahwinan di Kuala Lumpur haruslah menurut
peruntukan perundangan syariah maka kedua-dua seksyen ini haruslah dipatuhi.
Asasnya adalah agama Islam itu sendiri yang mana sesuatu perkahwinan itu tidak
menjadi masalah walaupun berlainan bangsa.