Jumaat, 14 Disember 2012

Belajar untuk bekerja


    Apa tujuan sistem pendidikan Malaysia? Adakah untuk melahirkan para pemimpin yang berwibawa atau untuk menjana pekerja-pekerja yang berkemahiran tinggi? Senang untuk mengetahuinya. Cuba kau ponteng sekolah sekali (sebarang kesan atas tanggungjawab sendiri). Apa yang orang lain akan kutuk?

  “budak tu ponteng sekolah lagi. Takde masa depan dah tu.”

  “sahih dah budak tu takde kerja nanti.”

  “camne budak tu nak hidup dah besar nanti. Entah-entah jadi pencuri kat taman kita pula.”

    Nampak bukan? Sistem pendidikan memang untuk melahirkan pekerja-pekerja yang begitu mendengar kata. Kau tak ada sijil SPM, kau memang tak boleh dapat kerja. Ironinya, para graduan yang merangkul sijil ijazah dan masters sekalipun payah nak dapat kerja di Malaysia. Salah majikan yang begitu cerewet atau orang Malaysia yang terlalu manja? Mungkin dua-dua sekali ada salah dan betulnya.

    Kita sudah tahu sistem pelajaran Malaysia untuk melahirkan para pekerja. Jadi adakah kita ingin menjadi pekerja yang hebat dengan mesin tapi lemah dengan manusia atau pekerja yang benar-benar berfikir? Pekerja yang hebat dengan mesin mempunyai sikap kerja yang bagus. Mereka tahu etika kerja. Mereka mengamalkan peraturan kerja dengan bagus sekali. Mereka begitu mematuhi arahan bos sehingga menjadi workaholic.

    Tapi sayangnya mereka hanya sekadar robot yang begitu sempurna. Mereka gagal dalam kehidupan seharian. Mereka lebih mementingkan kerja daripada mengutamakan kehidupan masing-masing. Bagi mereka, kerja itu lebih baik buat mereka daripada meluangkan masa untuk orang tersayang. Hidup mereka hanyalah untuk bekerja. Mereka tidak sedar, kerja mereka hanya menguntungkan sedikit sahaja. Mereka hanya memperoleh faedah yang sedikit sahaja daripada titik peluh mereka selama ini. Yang bertambah kaya, bos mereka. Mereka tetap berhutang untuk membeli rumah dan kereta. Bos mereka? Hanya perlu bayar tunai untuk beli banglo atas bukit. Hebat bukan?

   “duit bukannya segala-galanya, tapi tanpa duit keyakinan kita akan goyah.”

    Yang bagus, cubalah menjadi pekerja yang benar-benar berfikir. Kita perlu sedar bekerja itu juga penting kerana hasil pekerjaan itu untuk menyara kehidupan. Tapi jangan terlalu tamak sehingga mengabaikan keperluan diri. Sedarlah bos kita hanya melihat kita sebagai pekerja setia iaitu lubuk duit. Tenaga kita dikerah untuk memperoleh keuntungan maksima tapi adakah kita turut menuai hasilnya?

    Teori belajar untuk bekerja tidak beberapa sesuai untuk diamalkan. Ia mungkin akan berkesan untuk beberapa tahun kita bekerja tapi mampukah kita bertahan sehingga pada usia dimamah penuaan? Lagipun ilmu yang kita belajar perlu ikhlas diamalkan bukannya sekadar untuk lulus atas kertas peperiksaan. Orang yang belajar untuk bekerja jarang-jarang yang berjaya. Mereka hanya sekadar mempunyai impian yang rendah. Matlamat mereka tidak setinggi dengan taraf keupayaan mereka. Cuba tengok mereka yang sudah berjaya di peringkat global. Pendidikan mereka tidak tinggi tapi akhirnya berjaya mencatat kejayaan sebagai orang kenamaan.

    Mereka yang belajar untuk bekerja akan cepat putus asa. Contoh dalam satu situasi. Katakan Malaysia memerlukan tenaga perubatan yang ramai dan bidang ini amat kritikal tenaga kerjanya. Maka berduyun-duyun pelajar memohon dalam bidang perubatan. Harapan mereka untuk mengisi peluang pekerjaan yang luas kerana tenaga kerjanya amat sedikit. Jadi sudah tentu permohonan untuk bekerja amat cerah peluang untuk diterima. Hospital pasti akan menerima mereka walaupun pekerjaan seorang doktor amat perit sekali.
  
  Tiba-tiba pelajar yang dulu memohon bidang perubatan di universiti telah menerima satu berita buruk. Tenaga kerja doktor sudah mencapai tahap piawaan. Bidang perubatan di Malaysia sudah semakin stabil. Malah bilangan doktor sudah semakin bertambah dan melebihi daripada apa yang diinginkan oleh pihak kementerian kesihatan. Sedangkan mereka yang memasuki bidang perubatan sudah masuk ke tahun kedua. Mereka sudah tidak dapat berpatah balik. Mereka perlu bersaing dalam kelompok besar untuk mengisi peluang pekerjaan doktor yang semakin mengecil.

    Tekanan mereka semakin bercambah. Masalah semakin bertambah. Peluang pekerjaan semakin gelap. Belajar dalam bidang perubatan merupakan satu keperitan yang amat. Tugas semakin banyak. Malah pengorbanan sebagai doktor terlalu besar tapi tidak setimpal dengan gaji yang akan diterima. Akhirnya, mereka berhenti di separuh jalan. Mereka pergi bagai layang-layang terputus tali. Mereka kesal dan bingung dengan hala tuju hidup. Siapa pula yang masih kekal dalam bidang perubatan walaupun tekanan semakin meninggi? Hanya mereka yan betul-betul berminat dengan bidang ini sahaja akan terus berada sehingga ke tahun akhir. Impian mereka untuk bergelar sebagai doktor sebagai punca kekuatan untuk terus berada pada landasan yang sungguh mencabar.

    Kita jangan pilih bidang pelajaran mengikut situasi permintaan pekerjaan sekarang. Ini kerana situasi tersebut boleh berubah dari masa ke masa. Katakan tahun ini kerajaan mengumumkan pekerjaan akauntan dan pertanian sangat kritikal. Lima tahun dari sekarang angka tersebut akan berubah. Statistik bidang kritikal akan bergerak dari tahun ke tahun. Jadi, kita perlu berfikir ke masa hadapan. Fikiran kita perlu merenung jauh. Jalan paling selamat adalah memilih bidang yang sesuai dengan jiwa kita. Pilihkah bidang yang kita suka. Buat perancangan pelan bidang kesukaan. Kalau pelan pertama ditolak, kita masih ada pelan kedua dan seterusnya.

    Gaji? Mengapa terlalu awal berfikir mengenai gaji? Kita baru sahaja nak belajar, takkan sudah bertanya mengenai gaji. Jangan bimbang, gaji akan meningkat seiring dengan prestasi kerja kita. Gaji permulaan memang agak mengecewakan. Relaklah. Takkan gaji pertama sudah hendak dibandingkan dengan para pengawai atasan. Mereka sudah lama bekerja dan banyak pengalaman. Kalau kita mempunyai prestasi kerja yang memberangsangkan, pandai bergaul dengan pekerja, pandai ambil hati bos (bukan bodek, tapi jaga komunikasi dengan bos), peluang nak gaji tinggi itu ada.

    Percayalah, semua bidang menjanjikan pendapatan lumayan. Syaratnya kita perlu pandai meneroka bidang tersebut dengan betul. Ramai orang melihat seni lukisan sebagai bidang pinggiran. Tapi ada juga seniman yang memperoleh gaji tinggi. Ada lukisan yang dijual dengan harga ratusan ribu. Malah komik mangaka dari Jepun sudah menakluk banyak negara di atas dunia ini. Yang penting kita tahu bakat kita, cara mengembangkannya dan beberapa aspek penting, tidak perlu diabaikan.

    Buat mereka yang sudah belajar untuk bekerja, jangan berputus asa. Anda tidak perlu berpatah balik. Yang penting kuatkan semangat untuk terus berada dalam landasan itu. Mungkin ada hikmah mengapa kita berada di situ. Kita mempunyai akal fikiran dan boleh berfikir dengan rasional mengapa kita boleh berada dalam bidang tersebut walaupun tidak suka. Hikmahnya tidak akan datang dengan segera. Hanya masa menentukannya. Tanamkan keyakinan yang tinggi untuk menyukai bidang tersebut. Tiada kehidupan yang mudah untuk kita terus berjaya. Setiap perjalanan ada pahit getirnya kerana manisnya sedang menunggu kita di akhir landasan.

   Percayalah, tiada apa yang terlambat selagi kita terus percaya dan yakin.

   Jadilah pekerja yang berfikir. Mungkin kitalah yang akan dibentuk menjadi pemimpin negara yang berwibawa.

Khamis, 13 Disember 2012

Kekalahan Malaysia itu bermaruah


  Misi pasukan bola sepak Malaysia untuk menjuarai AFF Suzuki Cup telah berkecai dengan kekalahan bermaruah dengan Thailand. 2 bola gol telah bolos oleh pemain Thailand telah menyebabkan impian dan misi Malaysia punah ranah. Memang dari awal lagi Malaysia telah mendapat layanan buruk daripada pihak Thailand kerana telah disediakan tempat latihan umpama padang sawah padi. Nasib baik Malaysia ada juga sawah padi.

  Tapi aku sejak dari awal lagi Malaysia mula merasai bahang kekalahan kerana daripada corak permainan Malaysia dengan Thailand tempoh hari. Ramai pengkritik tidak berbayar mengutuk Rajagopal kerana midfield Malaysia lembik. Kalau midfield lemah, serangan sempurna tidak akan berhasil. Maka pertahanan Malaysia mudah digasak menyebabkan pemain pertahanan kurang stamina. Pertahanan akan menjadi rapuh dan gawang akan menjadi gulai pihak lawan.

  Walaupun pemain kebanggaan jurulatih kita masih tidak menunjukkan sebarang prestasi memberangsangkan malah semakin teruk daripada setiap permainan, malangnya khidmat mereka seolah-olah  masih lagi menjadi tagihan Rajagopal. Rajagopal seumpama mengharapkan pemain-pemain harapannya dapat menjadi bintang bersinar.

  Aduh, mutu permainan Malaysia memang teruk dengan pemain-pemain yang kononnya berkontroversi tapi hampeh. Yang menjadi mangsa, pertahanan yang sering diserang bertubi-tubi dan gawang yang semakin lemah keyakinan.

  Nampaknya malam ni yang menjadi mangsa bukannya pemain -pemain hampeh tersebut tetapi REFREE!!!

 Orang buta jer yang tak nampak pengadil MADE IN KOREA ni buat keputusan paling bangang. Pemain kita kena siku. Pemain kita kena maki. Tengok-tengok, pemain kita yang kena kad merah!!! What the hell!!!! Habis semua permainan jadi tunggang langgang sebab pengadil ni buat keputusan berat sebelah. Thailand dimenangkan, Malaysia dilumat-lumatkan. Aku syak dia dah kena makan "tomyam" dengan Thailand. Tak tahulah berapa Bhat dia boleh. Mesti dia seronok tengah menari Oppa Gangnam Style lepas Malaysia kalah. Ni kes nak balas dendam sebab dia kena tackle dengan pemain Malaysia semasa malaysia menentang Australia.

  Sebab-sebab Malaysia kalah

1. Eksperimen Rajagopal ikut modul sekolah rendah
2. Pemain Malaysia hebat di suratkhabar, hampeh di padang
3. Mendapat layanan 'VVIP' dari Thailand
4. Ada refree berat sebelah, pasal poket dia dah berat berkilo-kilo
5. YOU'RE FIRED, COACH!!!


  Walaupun malaysia kalah, hatiku tetap akan menyokong Harimau Malaya!! Kalah atau menang, itu memang adat resam permainan. Yang penting semangat kena ada.

Rabu, 12 Disember 2012

10 permainan video yang paling sukar



10 permainan video yang paling sukar

Permainan video merupakan satu fenomena yang melanda khususnya kepada anak-anak muda untuk menghabiskan masa santai. Permainan video ini sangat menarik dan sungguh menghiburkan ketika diri kita dirunding pelbagai masalah kehidupan. Keseronokan yang dahsyat dapat diselami oleh mereka yang pernah bermain pelbagai game yang terhangat di pasaran sekarang. Tetapi terdapat juga pemain yang terlalu gemarkan cabaran di dalam permainan video dan sanggup menghabiskan masa berjam-jam untuk mengharunginya!! Setakat sejarah permainan video, terdapat beberapa permainan video yang paling sukar untuk dimainkan!! Cabaran dan kekuatan minda mampu meruntuhkan semangat kita sebagai pemain terhandal!!






1.       BATTLELOADS (NES) 1991

     Battleloads adalah permainan video dengan mode kerjasama dua orang. Sekali tersilap langkah dan terpukul rakan sendiri, pemain terpaksa ulang semula permainan dari awal! Selepas lebih dua dekad berada di pasaran, ia masih diiktiraf sebagai antara permainan video yang paling sukar dan payah.








2.       QWOP (PC/FLASH) 2008

   Permainan ini mungkin kelihatan ringkas dan mudah. Permainan inni memerlukan anda berlari 100 meter tetapiia memerlukan anda mencubanya beberapa kali sebelum boleh melepasi garisan tanpa sebarang halangan. Ternyata ia amat sukar tanpa cheat!!!









3.       DEMON’S SOULS (PS3) 2009

   Dengan persekitaran yang gelap, suram dan dengan kekejaman yang berterusan, Demon’s Souls (sekuel pada 2011, Dark Souls) antara yang tersenarai sebagai permainan video paling sukar sejak beberapa tahun lalu.









4.       CONTRA (NES) 1987

     Tidak sah kalau anda tidak kenal permainan video ini! Permainan klasik penembak dengan paparan secara sisi mendapat tempat dalam kalangan ramai pemain ketika ia diapsarkan. Mode dua orang pemain secara serentak merupakan pembaharuan ketika itu dan dengan tahap kesukaran yang sangat meletihkan! Begitu juga dengan sambungannya, Super Contra!









5.       THE OREGON TRAIL (Pelbagai) 1974-1985)

    Permainan video ini adalah siri yang pertama berbentuk pendidikan yang mendapat tempat di sekolah-sekolah pada zaman 1970an. The Oregon Trail dikeluarkan untuk mengajar mengenai realiti kehidupan yang kejam telah merintis jalan pada zaman 1980. Walaupun kelihatan mudah, ia tidak seringkas yang dipaparkannya!









6.       THE HEIST (iOS)  2011

     Siri The Heist cantik, kreatif dan terlalu sukar sehingga mampu membuatkan anda menangis! The Heist menguji minda sehingga pemain akan cuba sedaya upaya menamatkannya.









7.       SUPER MARIO BROS: THE LOST LEVELS (Famicon) 1986

     Versi diperbaharui pada 1986 selepas Super Mario Bros., yang pada awalnya dikeluarkan di Jepun sebagai Super Mario Bros. 2, tidak dikeluarkan di Amerika Syarikat menerusi NES. Ini kerana Nintendo merasakan ia agak sukar dimain buat peminatnya di Amerika dan tekaan mereka agak tepat kerana ia menjadi seperti mimpi ngeri!









8.       TRIALS HD (Xbox Live Arcade) 2009

    Pernah terfikir bagaimana menjadi seorang penunggang motorsikal? Kekecewaan berterusan daripada siri asal sehingga ke sekuelnya! Siri Trials HD patut dipuji kerana mempunyai objektif jelas tetapi apabila anda gagal, tiada sesiapa patut dipersalahkan melainkan diri anda. Permainan ini dengan gembiranya akan memberitahu betapa bagusnya pemain lain berbanding dengan diri anda! Percayalah, permainan ini sangat menyakitkan hati!









9.       GHOSTS ‘N GOBLINS (Arcade/NES) 1985

    Permainan ini berasal daripada video arked yang kemudiannya beralih kepada pelantar permainan di rumah menerusi Virtual Console Wii. Ketika Sir Arthur, bintang pelantar arked klasik menerima serangan, baju perisainya akan lenyap dan yang tinggal hanyalah pahlawan malang yang tidak memiliki apa-apa melainkan seluar pendek bercorak hati! Nampaknya bukan mudah untuk meneruskan perjuangannya tanpa senjata dan baju perisai!!








10.   I WANNA BE THE GUY (Flash) 2007

   Ingin menjadi lelaki sejati? Masalahnya, tidaklah semudah yang disangka, seperti yang ditunjukkan dalam permainan ini.

Selasa, 11 Disember 2012

Asasi itu yang kupilih


Asasi itu yang kupilih


    Terlalu banyak pilihan yang ditawarkan dalam UPU. Aku masih belum tetap pendirian tentang pilihanku. Aku tak pasti, apa selama ini aku mahu kejar. Ya, kebahagiaan itu sangat dituntut dalam kehidupan semua tapi jalannya belum tentu jelas dilihat dalam mata semua orang.


    Doktorkah? Engineer ke? Atau ada cita-cita yang lebih baik? Aku buntu yang mana patut aku ambil. Lama-lama, aku rasa baik ikut kawan. Paling kurang kawan kita itu ada idea bernas mengapa dia ambil pilihan tersebut.


     Jadi aku buat keputusan nak pergi Pusat Asasi UIAM (Universiti Islam Antarabangsa Malaysia) di Petaling Jaya. Pergh, memang banyak gila asasi dekat CFS (Centre Foundation Studies, nama manja untuk Pusat Asasi UIAM)  ini. Ada sains fizikal, sains hayat, engineering and science computer, undang-undang, perubatan, farmasi, pergigian, sains kemanusiaan, arkitek, dan banyak lagi. Pening juga aku nak buat keputusan ini. Jadi, oleh sebab aku tak tahu nak jadi apa bila dewasa nanti, baik aku ambil sains fizikal. Sebabnya aku malas belajar biologi dan bidang pengkhususannya tidak terhad kepada satu jenis sahaja.


      Percayalah, ramai budak yang keliru dan akan buat keputusan salah apabila melihat terlalu banyak asasi di CFS. Semua orang tahu asasi sains fizikal adalah lonjakan untuk mengambil degree engineering tapi bukan semua orang tahu yang asasi sains fizikal di UIAM tidak boleh ambil ENGINEERING! Kenapa? Ini kerana di CFS sudah ada asasi khusus untuk engineering iaitu asasi engineering and science computer.
  

     Begitu juga dengan asasi sains hayat. Semua orang fikir untuk asasi sains hayat untuk golongan yang bercita-cita menjadi doktor tapi percayalah, di CFS sudah ada asasi perubatan. Jadi budak asasi sains hayat hanya boleh bidang bioteknologi. Bidang pergigian dan farmasi sudah pun ada asasi masing-masing iaitu asasi pergigian dan farmasi. Begitu juga dengan asasi kejururawatan.


     Nasihat saya, selidik dahulu bidang yang ditawarkan dalam sesebuah universiti. Kebanyakkan orang suka memilih sebab ada asrama yang selesa, dekat dengan bandaraya, ada nama yang gah tapi kurang orang yang menyelidik tentang bidang tersebut akan bawa kita ke mana. Percayalah, setiap universiti ada sistem yang berbeza dan tak sama dengan universiti lain. Bukan semua universiti boleh menawarkan bidang yang kita hendak.


       Contohnya anda berminat untuk menjadi guru. Di UIAM, walaupun anda mengambil degree yang khusus terhadap pendidikan tapi anda tetap tidak boleh menjadi guru. Guru swasta itu bolehlah. Begitu juga dengan orang yang bercita-cita menjadi engineer dalam kejuruteraan awam. Tapi di UIAM tiada bidang kejuruteraan awam yang ditawarkan. Jadi kaji dulu adakah universiti tersebut dapat membawa anda menjadi apa yang anda inginkan.


      Keputusan matrikulasi sudah keluar. Keputusan UPU pun sudah keluar. Tapi aku lebih berminat dengan pilihan UPU. Ya, asasi sains fizikal UIAM arah yang akan kutujui. Memang aku sudah seteguh kata untuk memilih asasi berkenaan. Asasi itulah pilihan pertamaku dalam UPU. Awal bulan Jun aku akan mendaftar menjadi budak asasi UIAM.


     Hari pendaftaran asasi UIAM memang sangat meriah. Budak-budak terlampau ramai. Sedangkan CFS ini kecil jer. Boleh ke nak tampung budak yang ramai? Kan pecah CFS ini.


     Seminggu aku menjalani minggu orientasi atau dikenali ta’aruf week. Geng dari sekolah lama aku ada lebih kurang 11 orang. Sebenarnya kalau tak nak mari masa ta’aruf week pun boleh juga tak ada kehadiran yang diambil. Kalau nak ponteng tiada masalah punya. Tapi takkan baru jadi budak junior dah jadi berlagak. Dekat CFS ada budak senior sebab asasi UIAM mengambil masa 2 tahun berbanding dengan asasi lain iaitu setahun.

    Hari pertama pembelajaran ada sedikit masalah. Jadual aku tak dapat lagi. Lagipun jabatan program asasi sains fizikal kena kunci oleh pak guard. Pagi-pagi isnin lagi aku pergi jabatan tersebut pergi tengok jadual aku punya.nasib baik hari itu kelas mula pukul 9.00 pagi. Ada banyak masa lagi. Kelas-kelas dekat CFS semua tempat belajar beza. Setiap subjek kau kena bergerak pergi kelas lain............


Dah malas nak tulis panjang-panjang lagi. Tunggu next post jerlah.

bersambung ke Cerita-cerita seram di sini

Isnin, 3 Disember 2012

Selepas SPM


     Selepas SPM, aku masih terpinga-pinga dengan hala tuju aku. Borang UPU aku masih belum isi. Keputusan belum diputuskan, universiti mana menjadi pilihan aku. Aku kecewa dengan keputusan SPM. Bukan semua A, hanya satu subjek sahaja yang cuai. Bahasa Inggeris memang menjadi “musuh ketat” aku sejak sekolah rendah. Nampaknya aku gagal untuk mengatasi kelemahan aku. 8A dan berbaki 1B menyebabkan aku kurang bersemangat untuk mengisi borang-borang lain.

      Aku dapati, kebanyakkan tawaran biasiswa mengutamakan subjek Inggeris terlebih dahulu. Haha, aku ketawa dalam hati sebagai tanda protes. Tak ada satu pun yang boleh aku isi. Lama-lama, aku boleh jadi benci dengan subjek bahasa asing. Syarat biasiswa tak lepas, jangan haraplah kalau boleh mengetuk pintu ke bilik temu duga. Jadi, setakat ini aku hanya menanti pengumuman biasiswa MARA dan JPA di internet kemudian.

   Aku termenung seketika. Borang UPU perlu aku isi segera sebelum tarikh ditutup. Terlalu banyak pilihan asasi di Malaysia. UIAM, UiTM, UPM, UM dan lain-lain membuatkan aku pening untuk menjadi pilihan tempat melanjutkan pelajaran. Aku tak minat nak buat diploma sebab nak sambung degree. Kalau aku ambil diploma, kena pinjam PTPTN. Tak nak aku terbeban nak bayar duit hutang semasa bekerja nanti. Perit tau kehidupan berhutang ni. Belum tentu juga selepas habis belajar terus dapat kerja. Jadi kita kena kurangkan risiko.

   Matrik bukan pilihan aku kerana aku mahu bebas sikit. Peraturan Matrik macam sekolah sikit. Lagipun, pembelajaran di Matrik sangat laju, cuti pendek, dan banyak faktor lain yang menyumbang ke arah tersebut. Lagipun aku minta Matrik Pahang dekat Kuantan. Tapi aku nak tempat belajar jauh sikit dari pantai timur. Aku nak rasai suasana kehidupan di kota raya.

      Kawan baik aku dah bersepakat nak pilih asasi UIAM. Aku pun tak ada bantahan. Biarpun 2 tahun, tapi aku rasa berbaloi sebab ada pendidikan agama, bahasa arab. Lagipun aku dengar graduan UIAM ada kualiti yang tersendiri sebab ada nilai tambah iaitu Bahasa Inggeris dan Bahasa Arab. Masa inilah aku kena memperbaiki Bahasa Inggeris aku. Dah tak nak bahasa asing itu jadi musuh aku sampai bila-bila. Bahasa Inggeris juga menjadi bahasa paling utama di atas muka bumi. Jadi aku tetap kena belajar juga kalau nak dapat pekerjaan yang mewah-mewah.

Api dan air tidak pernah berkawan


Api dan air tidak pernah berkawan





   Api dan air salah satu elemen penting dalam kehidupan. Unsur-unsur terbabit amat berguna dalam kehidupan seharian kita. Api dapat memanaskan badan kita dan digunakan dalam industri teknologi tertentu manakala air digunakan sebagai bahan minuman dan kegunaan lain dalam seluruh aspek bidang di dunia.






  Secara logiknya, api dan air tidak pernah bersatu. Api tidak boleh wujud jika air ada bersama. Air pula tidak akan kekal lama dengan api. Kedua-dua elemen ini sudah ditakdirkan tidak dapat bersama-sama biarpun kedua-duanya amat berguna kepada manusia. Jadi,mustahil mereka yang bersifat ‘api’ dapat bersama atau berganding bahu dengan orang bersifat ‘air’.






  Contohnya jika ada seseorang ingin menentang kejahatan untuk mengembalikan keamanan tempatnya. Dia tidak akan pernah berhasil mengalahkan kejahatan jika dia sendirilah punca kejahatan itu. Mana mungkin orang yang melakukan kejahatan tiba-tiba mengajak orang ramai agar membasmi kejahatan. Jika betul-betul dia ingin mengatasi kejahatan di tempatnya, diri dia sendiri perlu meninggalkan kejahatan tersebut.






   Dalam kehidupan ini, kita perlukan seseorang yang tidak hipokrit dalam kehidupan. Seharusnya mereka tidak bersikap muka dua talam. Sikap ini tidak menguntungkan mana-mana pihak sekalipun. Hanya kerugian yang akan menimpa. Contohnya, sebuah sekolah memerlukan sepasukan pengawas yang baik. Pengawas perlu mencegah kegiatan tidak baik dalam kawasan sekolah untuk memelihara kecemerlangan kebistarian sekolah. Tapi suasana itu mungkin tergugat jika pengawas itu sendiri melakukan perkara jahat seperti buli, ponteng, menipu dan lain-lain. Masalahnya, orang-orang seperti pengawas inilah yang selalu mendapat perhatian, kepercayaan, pujian daripada orang lain.






  Kita harus bijak menilai siapa ‘api’, siapa ‘air’. Mustahil untuk ‘api’ menyokong ‘air’, atau ‘air’ menyokong ‘api’. Jika kita betul-betul ingin kembali ke jalan yang benar, kaji selidiklah dirimu sebelum melihat orang lain. Ingatlah, maksiat tidak pernah hadir bersama dengan iman dalam hati dalam satu masa. Sama ada iman atau maksiat yang menguasai hati tersebut, kita yang menentukannya. Orang yang berhati maksiat, sentiasa gelisah dengan perkara bersifat soleh dan sentiasa ingin menghapuskannya. Orang yang berhati iman akan gerun terhadap maksiat dan sedaya upaya lari daripadanya.







   Wahai orang berhati maksiat, tinggalkan perkara kemaksiatan sebelum terlambat. Cucikanlah hati kita yang hitam pekat dengan perkara terpuji. Jika kita sudah mula berasa gelisah dan tidak tenteram, ini maknanya hati maksiat sudah tergugat dengan kesucian iman. Cepat-cepat singkirkanlah kemungkaran dalam hati kita demi membawa kejernihan iman dalam hati kita.






   Wahai orang berhati iman, jangan kita cepat terpedaya dengan pujukan nafsu. Maksiat yang akan menguasai diri kita hanya untuk membinasakan diri kita dalam lembah kehinaan. Larilah dari kemungkaran. Cegahlah kemungkaran dengan sedaya upaya. Lakukanlah perkara-perkara suci agar keimanan kita sentiasa mantap.

InsyaAllah....