Sabtu, 25 Jun 2016

'Tuang' kelas

   Sebagai seorang pelajar di universiti, benda yang paling payah nak buat ialah bangun pagi pergi ke kelas. Tapi waktu sekolah dulu rilek aja kita bangun awal nak pergi ke sekolah. Percayalah, bangun pagi merupakan satu perkara yang mustahil. Yang peliknya waktu hari cuti biasa boleh pula bangun awal. Aku sekarang dah masuk semester ketiga di UNITEN KSHAS.

   Mengikut pengalaman aku, benda ini terjadi apabila semangat kau menurun. Waktu semester pertama, aku ada je kelas pukul seawal lapan pagi dan bukan satu masalah besar untuk bangun awal. Aku hanya ponteng kelas sekali masa semester pertama itupun sebab aku demam. Ini bermakna jika kau jarang ponteng kelas, semangat nak masuk ke kelas sangat tinggi dan kau tak ada alasan untuk bangun lewat. Aku jarang pergi lambat ke kelas terumatanya kelas pagi.

   Masuk semester kedua, aku dah pandai ponteng kelas. Bukan sikit tapi banyak. Lebih-lebih lagi kau dah jumpa geng yang suka buat benda serupa. Mula-mula ponteng satu kelas dan akhirnya terjebak dengan semua kelas. Alasan ponteng sebab malas dan pelajar lain ada yang ponteng juga, bukan aku seorang je. Lama-lama amalan ponteng kelas mula menjadi perangai sebati dalam diri. Aku ponteng bukan buat apa pun, nak tidur je. Kesannya, aku dah makin payah nak tidur malam.

   Apabila dah masuk semester ketiga, perangai aku semakin teruk. Aku ponteng kelas walaupun tak perlu. Tak buat soalan tutorial, ponteng. Tak tahu kelas kat mana, ponteng. Kelas awal sangat, sambung tidur balik. Kalau dah macam ni, memang terjejas prestasi gemilang aku tadi. Jadi nasihat aku kepada kita semua adalah jangan mula langkah pertama untung ponteng kelas. Sekali terjebak, sudah payah nak jumpa jalan keluar. Aku ni lepas hari raya nanti nak mula azam baru supaya jangan ponteng mana-mana kelas.

Rabu, 22 Jun 2016

Hampir dua tahun terbiar

   Sudah hampir dua tahun aku tidak menulis di sini. Apa la sangat dengan blog ini jika dibandingkan dengan Facebook dan Twitter aku yang sudah lama aku tak muat naik status. Waktu gembira, suka, duka, terkejut dan marah semuanya aku simpan dalam hati. Jarang sekali aku nak ekspresikan riak perasaan dalam bentuk elektronik.

   Sebenarnya aku dah setahun belajar di UNITEN. Aku ambil kos perakaunan. Kampus aku berada kat Muadzam Shah dan bukannya kat Bangi. Namun aku tak kisah sebab UNITEN KSHAS dekat dengan Kemaman kalau dibanding dengan kolej INTEC di Shah Alam. Kawasan Muadzam Shah memang kawasan kampung pedalaman dan jangan fikir ia seperti 'Bandar Kuantan', takut bila dah datang sini jadi menyesal. Tapi suasana pekampungan Muadzam Shah banyak membantu para mahasiswa untuk lebih fokus dalam soal pelajaran di sini.

   Bagi aku, kos perakaunan bukannya satu bidang yang payah. Rajin kau belajar, banyak kau dapat. Malangnya aku tak dapat nak ikut sekali 'kereta api perakaunan' yang bagi aku amat berbelit sekali. Senang cerita, aku tak suka dengan kos perakaunan. Tapi jangan khuatir sebab aku takkan putus asa dan mengalah sekali lagi seperti mana kesilapan yang aku buat di kolej INTEC. Aku yang pilih bidang ini maka ini tangungjawab aku berjaya dalam bidang perakaunan. Insyaallah aku akan cuba untuk terus berjaya dalam bidang ini. Lambat laun aku akan jatuh cinta juga dengan perakaunan.

   Sebagai post pertama dalam tahun ini, aku terfikir untuk terus menulis dalam blog ini biarpun tiada sesiapa nak baca. Lagipun menulis dan berkongsi cerita adalah perkara yang sihat dan bagus lebih-lebih lagi untuk manusia introvert tegar seperti aku. Aku bukannya benci untuk menulis tapi dalam tempoh dua tahun aku tiada idea untuk dikongsikan. Lagipun aku masih kecewa dengan kegagalan aku dalam A Level. Aku harap masa Degree Accounting ini boleh aku buktikan untuk bangkit semula.

   Selepas ini, aku akan terus update post dalam blog ini. Mungkin tak banyak tapi paling kurang aku akan ceritakan serba sedikit perjalanan hidup aku. Memang arah tuju hidup aku tak menarik dan tidak bernilai dijadikan motivasi kepada orang lain tapi bagi aku memori kehidupan sangat bernilai terhadap empuna diri masing-masing. Jadi sila tunggu kerana Earkix Mindaku akan beroperasi sebagai tuan blog yang aktif semula.