Dajjal merupakan
satu makhluk yang akan memunculkan diri tatkala bumi menghampiri garisan
penamat. Datangnya Dajjal memberikan alamat kiamat sudah dekat. Kebanyakkan
video dan blog konspirasi menceritakan pelan kejahatan Dajjal dalam
rancangannya menguasai dunia. Hasil kajian mereka ini sangat terperinci
sehinggakan semua benda dikaitkan dengan Dajjal sehingga orang menjadi paranoid
dengan semua ini.
Tapi mereka ada
kekurangan di setiap penulisan atau video konspirasi tersebut. Mereka jarang
atau tidak menekankan cara menghadapi Dajjal. Walaupun mereka membongkar setiap
rancangan jahat Dajjal, dunia ini masih lagi dikuasai oleh orang-orang yang
sombong. Oleh itu marilah kita menghayati kisah-kisah Dajjal yang telah
diceritakan oleh Rasulullah SAW. Garis panduan yang ada perlu dilakukan oleh
kita setelah mengetahui Dajjal adalah fitnah terbesar di bumi.
1.
Berpegang dengan Islam, mendalami keimanan dan
ilmu tentang Islam
Apabila
umat Islam mendalami ilmu tentang Islam mereka akan tahu Dajjal itu manusia
yang mengaku tuhan. Dajjal adalah manusia hebat yang diberi kekuatan oleh Allah
SWT. Ada hadis yang menunjukkan bahawa Dajjal itu manusia dan bukan tuhan.
Rasulullah bersabda, “Sesungguhnya Allah tidak buta sebelah matanya. Ketahuilah
Dajjal itu buta mata sebelah kanannya seperti buah anggur yang mengembung.” (HR
Muslim).
Apabila Dajjal itu mengaku dia tuhan sedangkan keadaannya fizikal yang
tak sempurna, bolehkah kita mempercayainya? Sedangkan kita tahu bahawa Allah
itu maha sempurna. Malah semua orang beriman di hatinya walau hanya sedikit
akan nampak di dahi Dajjal itu tulisan Ka Fa Ra (kafir). Ia boleh dibaca oleh
semua orang beriman sama ada pandai membaca atau tidak.
2.
Meminta perlindungan kepada Allah daripada
fitnah Dajjal
Di
dalam hadis daripada Abu Hurairah katanya Rasulullah bersabda, “Jika salah
seorang di antara kalian bertasyahud (dalam solat) hendaklah ia meminta
perlindungan kepada Allah dari empat perkara dan berdoa, ‘Allahumma inni
a’uudzubika min adzaabi jahannama, Wamin adzaabil qabri, Wamin fitnatil mahyaa
wal mamati, Waminsyarri fitnatil masiihid Dajjal. (Ya Allah, aku berlindung
kepada-Mu dari seksa neraka jahanam dan seksa kubur dan fitnah kehidupan
dankematian serta keburukan fitnah al-Masih ad-Dajjal).” (HR Muslim).
Doa ini kena hafal dan dibaca selepas tahiyat akhir sebelum memberi
salam. Para ulama berpendapat perkataan ‘hendaklah ia’ adalah perintah. Di
dalam usul fiqah perkataan ‘hendaklah’ adalah perintah, apabila disebut
perintah maka ertinya wajib. Maksudnya, wajib bagi kita untuk menghafal doa itu
dan membacanya di dalam solat sebelum memberi salam. Hendaklah di situ hukumnya
wajib dan tidak ada yang menunjukkan bahawa hukumnya sunat mengikut kaedah usul
fiqah.
Kecuali
ada kaedah yang menurunkan hukumnya seperti di dalam hadi ini, “Hendaklah kamu
sembahyang sebelum Maghrib bagi sesiapa yang mahu.” Di dalam hadis itu memang
dikatakan hendaklah tetapi di akhirnya disebut pengecualian bagi sesiapa yang
mahu. Di sini perintah ‘hendaklah’ itu tidak menjadi wajib tetapi menjadi
sunaat muakad. Kalau di dalam hadis pertama tadi iaitu ‘hendaklah ia memohon
perlindungan’, tidak ada hadis lain yang mengatakan bahawa jika hendak
dilakukan, jika tidak mahu tidak mengapa.
Yang pentingnya cubalah menghafal doa itu walaupun tidak boleh
melakukannya dengan cepat buatlah perlahan-lahan. Jika tidak dapat di dalam
bahasa Arab di dalam hati sekurang-kurangnya mintalah doa dengan makna bahasa
Melayu. Kemudian cuba menghafal pula di dalam bahasa Arab.
3.
Hafal surah Al-Kahfi
Hadis Nabi daripada Nawas bin Sam’an, katanya Rasulullah bersabda,
“Barang siapa di antara kamu bertemu dengan Dajjal bacakan kepadanya permulaan
surah al-Kahfi.” (HR Muslim).
Kemudian disebutkan di dalam hadis lain pula, Rasulullah bersabda,
“Barang siapa menghafal sepuluh ayat pertama dari surah al-Kahfi maka ia
terpelihara dari fitnah Dajjal.” (HR Abu Daud).
4.
Melarikan diri daripada Dajjal
Apabila mendengar Dajjal sudah sampai
hendaklah melarikan diri dan jangan dengan sengaja datang untuk mendapatkannya.
Konsepnya di sini boleh difahami jika ada huru-hara jangan pergi ke tempat itu,
lebih baik jauhkan diri dari tempat tersebut.
5.
Tinggal di Mekah dan Madinah
Antara orang yang akan terpelihara dari
fitnah Dajjal ialah mereka yang tinggal di Mekah dan Madinah. Rasulullah
bersabda, “Madinah tidak akan dimasuki rasa takut terhadap Dajjal. Kerana pada
waktu itu kota memiliki tujuh pintu, masing-masing dijaga oleh dua orang
malaikat.” (HR Bukhari). Di dalam hadis yang lain pula dinyatakan, “Bahawa
Dajjal itu tidak dapat memasuki Madinah dan Mekah kerana dihalang oleh para
Malaikat.”
Tiada ulasan:
Catat Ulasan