Siapa kata ada sijil pengajian tinggi sebagai bukti intelektual yang hebat? Sijil-sijil semua tu hanyalah sekeping kertas yang diusung ke sana sini semata-mata mencari pekerjaan. Perkara yang penting adalah ilmu yang kita perolehi semasa belajar. Tidak kiralah di pondok, IPT, matrikulasi, atau lain-lain, yang penting, ilmu sentiasa bergelora dalam dada.
Maksud gelora ni adalah ilmu yang kita belajar ini yang mencerminkan sifat kita. Kalau ombak bergelora kuat, rempuhan ombak akan kuat dan akan mengubah bentuk pantai. Begitu juga dengan gelora ilmu. Pengetahuan yang dia dapat itulah yang akan mencorak perangainya.
Sayangnya, jika gelora ilmu ini salah dibimbing, maka hancurlah diri. Silap hari bulan boleh menjadi seteruk musim tengkujuh di negeri pantai timur. Habis semua ranap dan musnah. Paras air laut boleh naik sampai ke jalan raya. Hakisan pun semakin tipis. Ini bukanlah perubahan yang kita inginkan.
Oleh sebab itulah, perkara yang utama ditanam dalam diri adalah taqwa kepada Allah. Kita percaya kepadaNya. Kita beriman KepadaNya. Kita mematuhi segala perintahNya dan menjauhi segala bentuk laranganNya. Kita elak benda yang boleh menjerumuskan diri kita ke dalam kemurkaan Allah. Seperti mana kita mengelak duri dan kaca di jalanan, begitu juga cara kita mengelak dosa serta maksiat.
Ketaqwaan yang sebenar-benarnya akan melahirkan keimanan mulia. Jesteru, Akhlak yang mulia dapat dilahirkan jua. Jarang-jarang kita jumpa orang yang bertaqwa itu merupakan orang yang berakhlak buruk. Para ulama' yang terkenal dan disegani itu memiliki ketaqwaan tinggi, keimanan nyata, akhlak mulia, dan ilmu yang meluas. Jadi, langkah pertama bermula daripada menanamkan keyakinan yang tinggi terhadap keesaan Allah SWT.
Sijil-sijil yang kita kumpul selama ni, bermula daripada pra-sekolah sampai master, itu adalah merupakan keperluan duniawi. Tiada sijil, payah nak mencari kerja. Tak masuk universiti, sukar nak masuk meminang. Tapi kalau tiada sijil, kita masih mampu hidup dengan senang kan? Berapa ramai orang yang ada sijil peringkat tertinggi, tapi melakukan jenayah kolar putih.
Tak percaya? Tak kisahlah tempat tertinggi atau terendah, yang mustahaknya, jenayah itu berlaku dalam negara kita! Salah siapa? Pemberi atau peminta rasuah? Jelasnya, dua-dua bersalah sebab jenayah ni takkan berlaku jika kedua-dua mempunyai akhlak yang mulia. Mereka tak sanggup main kotor semata-mata nak capai kejayaan tanpa usaha lebih.
Sebab itu, terapkan dulu ilmu agama dalam diri sebagai benteng. Ilmu agama yang kukuh mampu menjadi perisai dan penapis terhadap perkara yang boleh merosakkan kita. Benda baik kita akan tertarik dan benda buruk kita akan jauhi. Tanpa ilmu agama, kita tak mampu membezakan secara jelas, yang mana baik atau buruk. Senang cakap, perkara mana yang bawa aku ke syurga atau neraka?
Memang ibu bapa sangat bertanggungjawab untuk beri pendidikan agama selengkapnya kepada anak-anak mereka. Kalau semasa kecil kita tak sempat menikmati anugerah belajar ilmu agama, jadi berusahalah untuk mencarinya sendiri. Kedai buku banyak menawarkan stok buku agama. Ceramah agama semakin hangat di masjid. Khutbah Jumaat kena faham, bukannya tidur.
Kalau diri dah ada agama ilmu agama, maka pergilah cari ilmu dunia sebanyak mana yang boleh. Asalkan ilmu agama yang ada dalam diri itu cukup bentengi diri daripada perkara maksiat dan galakkan selalu diri buat benda baik, itu dah cukup. Nanti, kita akan tahu pilih ilmu dunia mana yang boleh beri manfaat kepada kita.
Kita mesti ada kehendak terhadap dunia dan akhirat sekaligus. Macam mana kehendak itu boleh dipuaskan? Ya, hanya ilmu yang mampu memberi manfaat sama ada dunia atau akhirat. Orang tidak berilmu akan mudah ditindas, terjebak dalam maksiat, terpesong dari jalan lurus. Maka berdoalah banyak-banyak agar kita dijauhkan daripada nasib malang sedemikian.
Orang islam yang berkualiti mesti ada sifat taqwa tinggi, iman kuat dan keikhlasan. Baru akhlak jadi mulia, dan ilmu menjadi berkat. Hidup pun jadi senang walau hidup senang kerana sentiasa dipayungi rahmat Allah. Rahmat itu tak semestinya harta tapi kebahagiaan diri.


