Selasa, 29 Oktober 2013

Masalah yang berlaku dalam kahwin campur di Malaysia



   Kahwin campur bukanlah satu perkara asing dalam amalan kehidupan kita. Malah tidak keterlaluan kahwin campur dianggap sebagai ‘amalan global’ yang menghubungkan dua dunia yang berbeza. Kahwin campur bukanlah satu perkara yang haram dan tidak pula mendapat tentangan daripada mereka yang arif dalam soal perkahwinan, asalkan syarat-syarat dalam islam dipatuhi.

   Sama ada kahwin campur didirikan atas cinta murni atau permintaan keluarga, amalan sebegini tidak jauh beza dengan perkahwinan biasa yang kita boleh jumpa ketika waktu kenduri. Asasnya perbezaannya hanya terletak pada bangsa, adat, budaya atau agama. Malah kahwin campur selalu dianggap sebagai salah satu langkah untuk melahirkan keturunan yang bijak.

   Walau bagaimana pun, kahwin campur juga mempunyai kesan-kesan negatif terhadap pasangan, keluarga atau anak-anak. Malah keburukan kahwin campur lebih bahaya kerana melibatkan jurang perbezaan adat dan agama. Masalah dalam kahwin campur lebih meruncing kerana membabitkan pertembungan dua watak dunia yang berbeza daripada apa yang mereka amalkan dan percaya.


1. Perebutan anak hasil perkongsian hidup pasangan terbabit selepas bercerai

   Salah satu keburukan kahwin campur adalah perebutan anak hasil perkongsian hidup pasangan terbabit selepas bercerai. Biasanya anak adalah mangsa utama dalam ‘jenayah’ perceraian. Macam mana jika pasangan itu terdiri daripada lelaki Melayu atau wanita Perancis? Ke manakah harus anak itu pergi, ikut bersama bapa di Malaysia atau terus menetap di Perancis?

   Sadisnya, salah satu daripada pilihan itu akan menyebabkan anak terpisah kasih daripada salah seorang daripada mereka. Faktor jarak dan masa serta kos menyebabkan rindu itu bertambah dalam kerana kekangan faktor itu. Kemungkinan besar peluang untuk anak berjumpa balik dengan ayah atau ibu sangat tipis dan perpisahan ini akan melukakan hati mereka.


2. Konflik rumah tangga dalam kahwin campur mungkin boleh menular menjadi isu diplomatik antara dua negara

   Bukan itu sahaja, konflik rumah tangga dalam kahwin campur mungkin boleh menular menjadi isu diplomatik antara dua negara. Perkahwinan antara pasangan berbeza warganegara akan menimbulkan masalah di masa depan contohnya jika berdepan dengan kemelut keganasan rumah tangga atau perceraian.

   Jika si suami melakukan keganasan dan bakal dihukum, soalnya negara mana yang patut mengambil tanggungjawab tersebut? Adakah suami perlu dijatuhkan hukuman mengikut negara yang dia miliki status warganegara atau negara di mana dia melakukan jenayah rumah tangga? Hal ni boleh menjadi lebih teruk jika mendapat perhatian media dan disebarkan kepada umum dengan serius, seola-olah ini adalah satu kes besar.

   Kemungkinan besar rakyat bagi si isteri akan melakukan demostrasi bagi membantah jenayah ini. hubungan diplomatik akan terganggu sekejap sehinggalah kes ini selesai di mahkamah.


3. Mendapat tentangan daripada pihak keluarga

   Perkahwinan campur sama ada melibatkan berlainan agama atau bangsa sepastinya akan mendapat pertentangan daripada keluarga atau cemuhan masyarakat. Keluarga lebih suka jika anak-anak mereka berkahwin dengan pasangan yang sama agama dan bangsa. Perbuatan yang keluar daripada norma adat kehidupan seharian pasti akan membawa tanda tanya oleh semua orang.

   Keluarga selalu menganggap kahwin campur akan memberi malu besar terhadap mereka dengan alasan tidak pandai mendidik anak sehingga anak berkahwin dengan orang luar. Sedangkan tiada keaiban yang jelas jika berkahwin dengan bangsa lain asalkan menganut agama islam. Tiada larangan jelas bahawa perkahwinan itu haruslah didirikan oleh pasangan yang sama bangsa.

   Malah masyarakat juga menganggap kahwin campur tidak bahagia dan selalu bergaduh sehingga membawa kepada perceraian. Tapi mereka lupa bahawa faktor perceraian adalah melibatkan ketidaksefahaman antara pasangan dan tiada persediaan secara mental fizikal, bukannya kerana perbezaan budaya atau adat.

   Pasangan berkahwin campur selalu mendapat masalah daripada keluarga dan masyarakat yang berfikir cetek dan ketinggalan zaman. Mereka bimbang jika dipulau oleh keluarga dan tidak dipedulikan lagi. itulah senario orang yang berkahwin campur menyebabkan mereka ragu-ragu untuk mencari pasangan berlainan bangsa atas faktor sekeliling yang kurang berfikir mengenai perasaan orang lain.


4. Mereka akan mengalami masalah untuk menerima sesetengah adat dan amalan yang si pasangan lalui

   Biasanya mereka yang berkahwin campur akan mengalami masalah untuk menerima sesetengah adat serta amalan yang si pasangan atau masyarakat di sana lakukan. Bagi orang timur, kelakuan amalan yang bertentangan dengan nilai ketimuran seperti minum arak, berzina, curang, dan lain-lain akan menakutkan mereka. Kita sudah sedia maklum ada beberapa adat dan budaya barat yang amat tidak selari dengan tuntutan agama dan dikaitkan dengan maksiat serta dosa.

   Mereka tak bersedia untuk menerima kejutan budaya yang sepastinya amat bertentangan dengan ajaran dalam islam dan adat Melayu. Pergaduhan dan pertengkaran akan berlaku disebabkan masalah ini yang tidak kesefahaman mengenai adat dan amalan masing-masing. Malah, jika adat di barat dikaitkan dengan budaya zina, mampukah si suami menerima hakikat adalah seorang yang bukan sudah anak dara?

   Atau mampukah si isteri menerima seorang suami yang pemabuk dan sering balik lewat malam? Kegagalan untuk serasi dengan adat yang berbeza atau tiada ketahanan diri untuk mencegah diri daripada amalan buruk di sana pasti akan memburukkan suasana dalam awan perkahwinan.


5. Komitmen suami terhadap isteri yang baru memeluk islam

    Apakah komitmen suami terhadap isteri yang baru memeluk islam? Biasanya mereka yang berbeza agama akan memilih jalan memeluk islam supaya mudah berkahwin dengan orang yang dicintai. Pengislaman seseorang bukan sahaja atas dasar cinta atau kahwin, tapi perlu juga disertakan dengan kepercayaan dan akidah yang betul.

   Di sini suami membawa peranan penting untuk memastikan keislaman si isteri benar-benar kuat. Masalahnya sudah terlalu banyak kes yang berlaku di mana pengislaman hanya atas dasar untuk berkahwin bukan untuk diamalkan.

   Hasilnya, kehidupan seorang isteri masih lagi terbabit dalam budaya hedonisme dan jauh bercanggah dengan anjuran islam. Perkara-perkara haram yang pernah dilakukan masih belum ditinggalkan disebabkan si suami tiada komitmen untuk memastikan si isteri adalah seorang muslimah sejati.

   Perkahwinan mereka bukan untuk melahirkan zuriat mulia atau membawa saudara baru atau muallaf untuk menikmati kemanisan islam. Sebaliknya perkahwinan itu hanya atas dasar nafsu untuk memuaskan syahwat masing-masing. Paling teruk sekali, si suami juga turut terjebak dengan perkara kotor yang dilakukan oleh isteri. Sebaiknya, si suami perlu ada ilmu rumah tangga yang cukup agar diri-diri benar mantap untuk membimbing isteri mengenali cahaya islam dan masuk ke dalam cahaya.

   Secara asasnya, kahwin campur juga mempunyai keburukan di mana lebih bersifat perbezaan adat dan gaya hidup. Malah akidah dan kepercayaan juga boleh tergugat jika iman di hati tidak kuat dan diri tidak berusaha lari daripada kerja maksiat. Sebenarnya, perkahwinan biasa sesama bangsa atau agama juga mempunyai kesan negatif yang hampir lebih kurang sama.

   Cumanya, kahwin campur lebih dilihat menuju kegagalan disebabkan jurang antara kaum dan agama yang sering terjadi dalam masyarakat di Malaysia. Oleh sebab itu kahwin campur perlu diberi lebih perhatian agar tiada masalah mendatang di masa depan.


6. Masalah perbezaan agama atau bangsa

   Islam merestui perkahwinan antara lelaki dan perempuan untuk melaksanakan tuntutan syariat dan sunnah-sunnah Rasulullah SAW. Perkahwinan itu sah jika kedua-duanya menganut agama islam dan tiada masalah akan datang pada masa depan.

   Bagaimana jika salah seorang adalah bukan islam, sama ada pada bakal pengantin lelaki atau perempuan? Adakah perkahwinan itu sah atau terbatal atau ada jalan lainkah untuk menyelesaikannya? Untuk menyelesaikan masalah ini, kita perlu merujuk kembali pada hukum feqah.

   Secara dasarnya, wanita muslim tidak halal kahwin dengan laki-laki bukan muslim, baik ia seorang musyrik (atheis) atau beragama Hindu, Kristian, Buddha, dan lainnya atau dari ahlul kitab. Hal ini kerana orang lelaki mempunyai hak kepimpinan terhadap isterinya dan isteri wajib taat padanya. Masalah akan berlaku jika lelaki bukan islam tetapi isterinya adalah seorang muslimah.

   Maka tidak boleh orang kafir atau musyrik menjadi pemimpin dan menguasai wanita yang mengucapkan, “Laa ilaha ilallah, Muhammad Rasulullah Saw.” Isteri akan mengalami kesukaran untuk menjadi kehidupan sebagai seorang seorang muslimah kerana tidak mempunyai kuasai bagi dirinya dan suaminya.
Dalil mengenai hal itu adalah firman Allah SWT:


Terjemahan:
Wahai orang-orang yang beriman! Apabila orang-orang perempuan yang mengaku beriman datang berhijrah kepada kamu, maka ujilah (iman) mereka: Allah lebih mengetahui akan iman mereka: dengan yang demikian, sekiranya kamu mengetahui bahawa mereka beriman, maka janganlah kamu mengembalikan mereka kepada orang-orang yang kafir. Mereka tidak halal bagi orang-orang kafir itu (sebagai isteri), dan orang-orang kafir itu pula tidak halal bagi mereka (sebagai suami). Dan berilah kepada suami-suami (yang kafir) itu apa yang mereka telah belanjakan. Dan tidaklah menjadi salah kamu berkahwin dengan mereka (perempuan-perempuan yang berhijrah itu) apabila kamu memberi kepada mereka maskahwinnya. Dan janganlah kamu (wahai orang-orang Islam) tetap berpegang kepada akad perkahwinan kamu dengan perempuan-perempuan yang (kekal dalam keadaan) kafir, dan mintalah balik maskahwin yang kamu telah berikan, dan biarkanlah mereka (suami-suami yang kafir itu) meminta balik apa yang mereka telah belanjakan. Demikianlah hukum Allah; Ia hukumkan di antara kamu (dengan adil). Dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.”

 (Surah Al-Mumtahanah: 10)



Terjemahan:
(Mereka yang munafik itu ialah) orang-orang yang sentiasa menunggu-nunggu (berlakunya sesuatu) kepada kamu; maka kalau kamu mendapat kemenangan dari Allah (dalam sesuatu peperangan), berkatalah mereka (kepada kamu): "Bukankah kami turut berjuang bersama-sama kamu? (Oleh itu kami juga berhak menerima bahagian dari harta rampasan perang)". Dan jika orang-orang kafir pula mendapat bahagian (yang menguntungkan dalam peperangan), berkatalah mereka (kepada orang-orang kafir itu): "Bukankah kami turut membantu kamu dan mempertahankan kamu dari (serang balas) orang-orang yang beriman (dengan mendedahkan rahsia perpaduannya)?" Maka Allah akan menghakimi di antara kamu semua pada hari kiamat; dan Allah tidak sekali-kali akan memberi jalan kepada orang-orang kafir untuk membinasakan orang-orang yang beriman.

 (Surah An-Nisaa’: 141)

   Tapi masalah ini tidak pula berlaku kepada lelaki muslim kerana mereka mempunyai kuasa kepimpinan terhadap isteri. Jadi mereka boleh mengahwini perempuan muslimah atau ahli-ahli kitab. Seharusnya mereka mempunyai ilmu dan keyakinan tinggi dalam urusan mendidik isteri untuk mendekati serta lebih mendalami agama islam.

   Merujuk kepada Seksyen 10 (1) Akta Undang-Undang Keluarga Islam (Wilayah-wilayah  Persekutuan),  1984, peruntukan Seksyen tersebut memperuntukan bahawa “Tiada seseorang lelaki boleh berkahwin dengan seseorang bukan Islam kecuali seorang `Kitabiyah'.” Di dalam mentafsirkan `Kitabiyah' Seksyen 2 Akta tersebut menyatakan bahawa `Kitabiyah'adalah:

(a) Seorang perempuan dari keturunan Bani Ya'qub; atau
(b) seorang perempuan nasrani dari keturunan orang-orang nasrani sebelum Nabi Muhammad menjadi Rasul; atau
(c) seorang perempuan Yahudi dari keturunan orang-orang Yahudi sebelum Nabi Isa menjadi Rasul.

  Manakala bagi Seksyen 10 (2) pula, ia menyatakan bahawa “ Tiada seseorang perempuan boleh berkahwin dengan seseorang bukan Islam.” Oleh kerana setiap perkahwinan di Kuala Lumpur haruslah menurut peruntukan perundangan syariah maka kedua-dua seksyen ini haruslah dipatuhi. Asasnya adalah agama Islam itu sendiri yang mana sesuatu perkahwinan itu tidak menjadi masalah walaupun berlainan bangsa.


1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Wallpaper lawa.. ^-^ .. thanks 4 the info