Khamis, 2 Februari 2012

Angan-angan Pembunuh Cita-cita


Angan-angan Pembunuh Cita-cita


Cita-cita harus dipasang tinggi supaya kita akan lebih menjadi orang bermatlamat tinggi (maknanya ada hala tuju). Kita bebas untuk memilih mana-mana cita-cita selagi tidak bertentangan dengan peraturan agama. Kita boleh memasang niat untuk menjadi seorang jutawan, anak soleh, juruterbang, doktor atau apa-apa sahaja yang dapat memberi manfaat besar kepada orang ramai.




Semakin tinggi cita-cita itu, semakin bernilai usaha seseorang ke arah merealisasikannya. Contohnya, jika ada yang berhajat untuk menjadi seorang jutawan. Maka, dia memerlukan strategi berkesan untuk jangka masa panjang dan alat atau batu loncatan sebagai jalan usahanya seperti menceburi bidang perniagaan. Dia harus mempunyai ilmu dalam bidang pengkhususan perniagaan yang telah dipilih dan perlu pandai memilih kawan-kawan positif yang berjaya. Jangan pula amalkan budaya suap duit kopi, itu jenayah rasuah namanya. Ha, baharulah kejayaan cita-cita boleh diraih!!


Tapi angan-angan boleh dianggap sebagai pembunuh sejati cita-cita. Angan-angan yang berlebihan menyebabkan kita kuat berkhayal tentang perkara yang diinginkan sedangkan sebarang usaha belum berjalan. Akibatnya, kita akan menjadi mudah leka dan mengabaikan tanggungjawab. Seorang pelajar akan malas belajar sekiranya dia berangan-angan boleh mencapai keputusan straight A. Seorang pekerja akan ponteng kerja sekiranya dia berangan-angan boleh cepat naik pangkat.


Ingatlah, tiada kejayaan tanpa usaha dan strategi.

 


Orang yang kuat berangan-angan akan menemui jalan kegagalan walaupun dia seorang yang bijak dan pandai. Contohnya kisah mat jenin yang popular kerana kuat berangan-angan. Hakikatnya dia seorang yang bijak kerana sudah mampu mengemukakan konsep pengembangan sebuah perniagaan melalui ideanya daripada hanya sebutir telur!! Konsepnya cukup mudah seperti MLM dan SLM iaitu satu boleh menjadi dua, dua boleh empat, empat boleh menjadi lapan, lapan boleh menjadi enam belas dan seterusnya. Malangnya kerana kuat berangan-angan tapi usaha tiada, akhirnya cita-cita tak sampai, hidup terus kebuluran.




Sebenarnya imaginasi juga penting dalam kehidupan. Tanpa imaginasi, arkitek tidak mampu melukis pelan bangunan, kartunis tidak dapat membayangkan jalan cerita, pelukis tidak dapat berkarya, perdana menteri tidak dapat membangunkan pembangunan secara konkrit. Tapi biarlah kita pandai dengan memiliki imaginasi cemerlang agar terhindar daripada keburukan berangan-angan. Imaginasi cemerlang membuatkan kita mempunyai dorongan tinggi untuk mengejarnya.


Kesimpulannya, cita-cita harus dikejar, angan-angan perlu ditolak, imaginasi biar bersesuaian dengan kemampuan diri. Kejarlah ijazah dahulu sebelum mengejar …………… (saya rasa semua orang ada jawapan sendiri untuk ruang kosong ini). Dukunglah master sebelum dukung anak.


Tiada ulasan: