Rabu, 15 Februari 2012

Adab-adab memberi salam


Adab-adab memberi salam




1. Ucapkanlah salam sebanyak tiga kali jika berada di khayalak supaya semua dapat mendengarnya. Anas r.a. menyebut, “Sesungguhnya Nabi s.a.w. apabila mengucapkan suatu kalimat, baginda mengulanginya tiga kali. Dan apabila baginda datang kepada suatu kaum, baginda memberi salam kepada mereka tiga kali.” (HR Al-Bukhari)




2. Sunah bagi orang menaiki kenderaan memberikan salam kepada orang yang berjalan kaki. Manakala orang yang berjalan kaki memberi salam kepada orang yang duduk. Sementara orang yang sedikit kepada yang banyak, dan orang yang lebih muda kepada yang lebih tua. Dari Abu Hurairah r.a., Rasulullah s.a.w. bersabda, ”Hendaklah yang muda terlebih dahulu memberi salam kepada yang tua, yang berjalan kepada yang duduk dan yang sedikit kepada yang lebih banyak..” Dan dalam suatu riwayat lain menyebut,”dan yang berkenderaan kepada yang berjalan.” (Bukhari 6231, 6234 dan Mualim 2160).





3. Disunatkan memberi salam dalam nada tegas dan jelas dan demikian pula ketika menjawabnya, kecuali jika di swkitarnya ada orang-orang yang sedang tidur. Ini bermakna tiada istilah ‘menjawab salam dalam hati’ kerana kita hendaklah menjawab salam yang diberikan supaya pemberi salam dapat mendengar jawapan salam tersebut. Di dalam hadis Miqdad bin Al-Aswad disebutkan, “dan kami pun memerah susu (binatang ternak) hingga setiap orang dapat bahagian minum dari kami, dan kami sediakan bahagian untuk Nabi s.a.w. Maka Nabi pun datang di malam hari dan memberikan salam yang tidak membangunkan orang yang sedang tidur, namun dapat didengar oleh orang yang bangun.” (HR Muslim)





4. Disunatkan memberi salam ketika masuk dan meninggalkan majlis. Hadis Rasulullah s.a.w. menyebut, “ Apabila salah seorang kamu sampai di suatu majlis hendaklah memberikan salam. Dan apabila hendak keluar, hendaklah memberikan salam, dan tidaklah yang pertama lebih berhak daripada yang kedua.” (HR Abu Daud dan disahihkan oleh Al-Albani)





5. Disunatkan memberi salam ketika masuk ke rumah sekalipun rumah tersebut kosong. Hal demikian ditegaskan oleh Allah melalui firmanNya di dalam Surah An-Nur ayat 61, “…Maka apabila kamu masuk ke mana-mana rumah hendaklah kamu memberi salam kepada (sesiapa yang mengerti) kamu dengan memohon kepada Allah cara hidup yang berkat lagi baik…” Sementara itu, Ibnu Umar a.a. menjelaskan, “Apabila seseorang akan masuk ke suatu rumah yang tidak berpenghuni, maka hendaklah dia mengucapkan, Assalamu ‘alaina wa ‘ala ‘ibadillahis solihin.” (HR Bukhari di dalam Al-Adab Al-Mufrad, dan disahihkan oleh Al-Albani).





6. Makruh memberi salam kepada orang yang sedang buang hajat. Ibnu Umar r.a. menyatakan, “Bahawasanya ada seseorang yang datang ketika Rasulullah s.a.w. sedang buang air kecil, dan orang itu memberi salam. Maka Nabi tidak menjawabnya.” (HR Muslim).





7. Disunatkan memberi salam kepada kanak-kanak. Dari Anas r.a. berkata, “Bahawasanya ketika ia melalui sekumpulan kanak-kanak dia memberi salam, dan dia mengatakan, ‘Demikianlah yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w.” (Muttafaq’alaih).





8. tidak memulakan memberikan salam kepada Ahli Ktab. Rasulullah s.a.w. bersabda, “Janganlah kalian terlebih dahulu memberi salam kepada orang-orang Yahudi dan Nasrani..” (HR Muslim). Dan apabila mereka yang memberi salam maka kita jawab dengan dengan mengucapkan ‘wa ‘alaikum’ saja. Imam Bukhari dan Muslim meriwayatkan hadis daripada Anas bin Malik katanya, Rasulullah s.a.w. bersabda, “Apabila kamu diberi salam oleh Ahli Kitab, jawablah ‘wa alaikum.”





9. Disunatkan memberi salam kepada orang yang dikenali ataupun tidak dikenali. Abdullah bin Umar r.a. menyebut, ada seseorang bertanya kepada Nabi s.a.w., “Islam yang manakah yang paling baik? Jawab Nabi, “Engkau memberikan makanan dan memberi salam kepada orang yang telah kamu kenal dan yang belum kamu kenal.” (Muttafaq’alaih).





10. Disunatkan menjawab salam orang yang menyampaikan salam melalui orang lain. Hal tersebut dinyatakan melalui sebuah hadis, “Pada suatu ketika seorang lelaki datang kepada Rasulullah s.a.w. lalu berkata, “Sesungguhnya ayahku menyampaikan salam untukmu. Maka Nabi menjawab, “alaika wa ‘ala abikas salam.” (HR Abu Dawud dan dihasankan Al-Albani).





11. Dilarang memberi salam dengan isyarat kecuali wujud keuzuran atau keadaan yang tidak mengizinkan. Antaranya, sedang solat, bisu, atau orang yang akan diberi salam itu jauh jaraknya. Di dalam hadis Jabir bin Abdillah r.a. diriwayatkan, Rasulullah s.a.w. bersabda, “Janganlah kalian memberi salam seperti orang-orang Yahudi dan Nasrani, kerana sesungguhnya pemberian salam mereka memakai isyarat dengan tangan.” (HR Al-Baihaqi dan dinilai hasan oleh Al-Albani).


Tiada ulasan: