Abu Hanifah Penyelamat Umat Islam
Imam Abu Hanifah adalah murid Imam Hammad bin Abi Sulaiman Al-Asy’ari yang juga terkenal sebagai seorang ulama terkenal. Beliau, selain mempunyai tahap keilmuan dan ketakwaan yang tinggi, juga terkenal sebagai seorang ulama yang berani sejak masih lagi berada dalam lingkungan usia remaja.
Antara cerita-cerita keberanian dan kecemerlangannya termasuklah yang melibatkan perdebatannya dengan seorang pengemuka ideologi materialis, ateis yang juga pendakwah Yahudu terkenal bernama Dahri yang telah mendatangi Kota Baghdad suatu ketika dahulu.
Seperti yang sudah diduga oleh penduduk Baghdad, kedatangan Dahri ke kota tersebut ketika itu sememangnya untuk mencetuskan kegemparan dalam kalangan umat islam kerana beliau cuba merosakkan pegangan umat islam dengan membahaskan soal-soal berhubung kait dengan ketuhanan.
Jesteru itulah, beliau lantang bersuara mencabar ulama-ulama Baghdad berdebat dengannya. Setiap kali cabarannya disahut, hujah-hujah Dahri tidak pernah dapat dipatahkan sehingga akhirnya tiada lagi ulama-ulama di Baghdad dan di sekitarnya yang sanggup berhadapan dengannya.
Ekoran itu, khalifah terpaksa memerintahkan beberapa menteri meninjau ke daerah lain bagi mendapatkan ulama yang berkemampuan berhadapan dengan Dahri. Wakil khalifah akhirnya menemui Imam Hammad bin Abi Sulaiman Al-Asy’ari yang dikira berkelayakan melaksanakan tugas itu.
Penemuan Imam Hammad untuk mendepani cabaran itu amat melegakan khalifah. Jesteru itu, khalifah memerintahkan supaya hari perdebatan antara Imam Hammad dan Dahri disegerakan dengan Masjid Jamek yang terletak di tengah-tengah Kota Baghdad dipilih sebagai tempat untuk melangsungkan majlis bersejarah itu.
Masjid Jamek telah dipenuhi orang ramai sehari sebelum perdebatan berlangsung. Masing-masing menaruh harapan agar Imam Hammad berjaya menumbangkan Dahri kerana beliaulah satu-satunya ulama yang diharapkan.
“Subhanallah… Subhanallah… Walahaulawala quhuwata illa billahi ‘aliyyil ‘azim…!” Lidah Imam Hammad terus melafazkan kalimat mensucikan segala tohmahan yang tidak layak bagi Zat Yang Maha Agung. Dia beristighfar terus. Rasanya sudah tidak sanggup telinganya menadah bermacam tohmahan yang dilemparkan oleh Dahri yang biadap dan materialis.
Mempertikaikan keEsaan Allah swt bukanlah perkara kecil dalam islam. Ini kes berat! Hatinya cukup pedih. Roh ketauhidannya bergelora. Mahu rasanya dipenggal leher si Dahri yang angkuh itu di depan ribuan yang turut hadir dalam majlis itu.
Keesokan harinya, pagi-pagi lagi muncul Abu Hanifah, muridnya yang paling rapat dan paling disayanginya. Namanya yang sebenar ialah Nu’man yang ketika itu masih lagi dalam lingkungan usia remaja. Apabila ternampak keadaan gurunya itu, Abu Hanifah pun bertanya untuk mendapatkan kepastian.
Lalu Imam Hammad menceritakan keadaan sebenarnya. Selepas itu, Abu Hanifah terus memohon izin untuk membantu gurunya berhadapan dengan si Dahri. Bertapa gembiranya hati Imam Hammad apabila tercetusnya hasrat itu daripada hati muridnya sendiri.
Sebaik sahaja tiba saat yang dijadualkan, berangkatlah ilmuan muda itu bersama gurunya ke Masjid Jamek. Seperti biasa, sebelum menyampaikan dakyahnya, Dahri akan mencabar dan memperlekeh-lekehkan ulama dengan bersuara lantang dari atas pentas.
“Hai Dahri, apalah yang digusarkan. Orang yang mengetahui pasti akan menjawabnya!” Tiba-tiba Abu Hanifah bersuara memeranjatkan Dahri dan kaum muslimin serta khalifah yang sudah hadir awal-awal lagi.
“Siapa kamu hai anak muda? Berani sungguh menyahut cabaranku…? Sedangkan ulama yang hebat-hebat yang berserban dan berjubah labuh telah kukalahkan…!” Lantang Dahri bersuara membidas Abu Hanifah.
“Wahai Dahri, sesungguhnya Allah tidak mengurniakan kemuliaan dan kebesaran itu pada serban atau jubah yang labuh. Tetapi Allah mengurniakan kemuliaan kepada orang-orang yang berilmu dan bertakwa,” balas Abu Hanifah dan kemudiannya membacakan firman Allah yang bermaksud:
“Allah telah meninggikan darjat orang beriman dan berilmu antara kamu beberapa darjat.” (Al- Mujadalah; ayat 11).
Kepetahan lidah Abu Hanifah berhujah membuatkan hati Dahri amat geram kepadanya. Jesteru itu, berlangsunglah majlis perdebatan yang mendebarkan orang ramai antara beliau dengan tokoh ad-Dahriyyah yang terkenal dengan pemikiran materialis dan ateisnya itu.
“Benarkah Allah itu wujud?” soal Dahri memulakan majlis itu.
“Bahkan Allah memang wujud,” tegas Abu Hanifah.
“Kalau Allah maujud(wujud), di manakah tempatnya…?” tanya Dahri dengan suara yang semakin meninggi.
“Allah tetap wujud tetapi Dia tidak bertempat,” jelas Abu Hanifah.
“Hairan, kau kata Allah itu wujud, tetapi tidak bertempat pula…?” bantah Dahri sambil melemparkan senyum sinisnya kepada orang ramai yang hadir.
“Ah, itu senang sahaja wahai Dahri. Cuba kau lihat pada dirimu sendiri. Bukankah pada dirimu itu ada nyawa…” Abu Hanifah mula berhujah. Orang ramai mula memerhatikan gaya ilmuan muda itu berpidato dengan penuh minat.
“Bahkan, memang aku ada nyawa, dan memang setiap makhluk yang bernafas itu ada nyawa…!” jawab Dahri.
“Tetapi adakah kau tahu di manakah letaknya nyawa atau rohmu…? Di kepakah, di perutkah atau adakah di hujung tapak kakimu…” sahut Abu Hanifah.
Tersentak seketika Dahri mendengarkan hujah Abu Hanifah itu. Orang ramai mula berbisik-bisik sesama sendiri. Setelah itu, Abu Hanifah mengambil pula segelas susy lalu ditunjukkan kepada Dahri sambil berkata:
“Adakah dalam air susu ini ada terkandung lemak..?”
“Ya,bahkan!” pantas Dahri menjawab.
Abu Hanifah bertanya lagi,”Kalau begitu, di manakah lemak itu berada..? di bahagian atasnyakah atau di bawahkah?” Sekali lagi Dahri tersentak, tidak mampu menjawab pertanyaan Abu Hanifah yang lancar itu.
“Untuk mencari di manakah beradanya roh dalam jasad dan tersisip di manakah kandungan lemak dalam air susu ini pun kita tidak upaya, masakan pula kita dapat menjangkau di manakah beradanya Zat Allah swt di alam maya ini?
Zat yang telah mencipta dan mentadbir seluruh alam ini termasuk roh dan akal dangkal kita ini, pun ciptaanNya, yang tunduk dan patuh di bawah urusan tadbir kerajaanNya Yang Maha Agung…!” agak panjang Abu Hanifah menghurai. Suaranya keras sedikit. Suasana menjadi agak bingar. Dahri terpaku di kerusi, terbungkam lidahnya, merah padam mukanya, kesabarannya mulai terburai.
Apabila keadaan agak reda, Dahri membentangkan soalan,”Hai anak muda! Apakah yang wujud sebelum Allah. Dan apa pula yang muncul selepas Dia nanti…” Serentak dengan itu, semua mata hadirin tertumpu kepada Abu Hanifah, murid Imam Hammad yang pintar itu.
“Wahai Dahri! Tidak ada suatu pun yang wujud sebelum Allah Taala dan tidak ada sesuatu jua yang akan muncul selepasNya. Allah swt tetap Qadim dan Azali. Dialah yang Awal dan Dialah yang Akhir,” tegas Abu Hanifah, ringkas tetapi padat.
“Pelik sungguh! Mana mungkin begitu…? Tuhan wujud tanpa ada permulaanNya? Dan mana mungkin Dia pula yang terakhir tanpa ada lagi yang selepasNya…?” Dahri cuba berdalih dengan fikiran logiknya.
Dengan tersenyum Abu Hanifah menjelaskan,” Ya! Dalilnya ada pada diri kamu sendiri! Cuba kau lihat pada ibu jarimu itu. Jari apakah yang kau nampak berada sebelum jari ini..?” Sambil menuding ibu jari ke langit. Dan beberapa hadirin turut berbuat demikian.
Kemudian Imam Abu Hanifah berkata lagi,”Dan pada jari manis kau itu, ada lagikah jari yang selepasnya..?”
Dahri membelek-belek jari-jemarinya. Tidak terfikir dia persoalan yang sekecil itu yang dikemukakan oleh Abu Hanifah.
“Jadi…! Kalaulah pada jari kita yang kecil ini pun tidak mampu kita fikir, apatah lagi Allah swt, Zat Yang Maha Agung itu, yang tiada suatu yang mendahuluiNya dan tiada sesuatu yang kemudian selepasNya,” kata Abu Hanifah.
Sekali lagi Dahri tercengang. Bungkam. Namun dia masih belum berputus asa untuk mematahkan hujah anak muda yang telah memalukannya di khayalak ramai itu. Khalifah juga turut memerhatikan sahaja gelagat Dahri dengan penuh tanda tanya.
Dahri berfikir sebentar seketika, mencari jalan, mencari idea. Kemudian, dia seperti didatangi ilham baru lalu tersenym sendirian menyambut ilham itu bagi mengubati gelodak hatinya yang bagaikan air tengah mengelegak itu.
“Ini soalan yang terakhir buatmu, hai budak mentah!” katanya dengan sengaja mengeraskan suaranya agar rasa malunya itu tersembunyi pada pandangan umum.
“Khabarkan wahai Dahri, akan tetap kusahut, insyaAllah!” tegas Abu Hanifah.
“Allah itu ada, katamu. Ha! Apakah pekerjaan tuhanMu ketika ini?” tanya beliau dengan disambut senyman riang oleh Abu Hanifah.
“Ini soalan yang sungguh menarik. Jadi kenalah dijawab dari tempat yang tinggi supaya dapat didengar oleh semua orang,” kata Abu Hanifah.
Pemuka ideologi ad-Dariyyun itu yang sedari tadi dicabar berterusan mentalitinya berjalan turun meninggalkan mimbar Masjid Jamek, memberikan tempatnya kepada Abu Hanifah yang kemudiannya berteriak gagah dari atas mimbar itu dengan berkata,
“Wahai sekalian manusia, ketahuilah kerja Allah ketika ini ialah menggugurkan yang batil sebagaimana Dahri yang berada di atas mimbar diturunkan Allah ke bawah mimbar. Dan Allah juga telah menaikkan yang hak sebagaimana aku yang berada di bawah sana telah dinaikkan ke atas mimbar Masjid Jamek ini…!”
Bagai halilintar hujah Abu Hanifah menerjah kedua-dua pipi Dahri. Seiring dengan itu, bergemalah pekikan takbir daripada orang ramai. Mereka memuji-muji kewibawaan Abu Hanifah yang telah berjaya menyelamatkan maruah islam dari lidah Dahri yang sesat lagi menyesatkan itu.
Demikianlah sebahagian daripada rentetan kehidupan Abu Hanifah yang penuh dengan keilmuan dan ketakwaan. Lantaran itu, tidak hairanlah jika keilmuannya itu terus dijadikan rujukan setiap umat islam hingga kini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan