Ahad, 13 Januari 2013

Apabila hukum islam sendiri dipertikaikan




  Hukum hudud sudah termaktub dalam islam. Hukum hudud perlu dilaksanakan oleh pemerintah islam sama ada cepat atau lambat. Hudud ni bukannya milik sesiapa pun, tapi ia sudah diwahyukan oleh Allah swt untuk dilaksanakan dalam kalangan orang islam terutamanya. Jadi, hudud sudah menjadi hak eksklusif oleh orang islam dan perlu dilaksanakan untuk menjamin ketaatan yang berpanjangan kepada Allah swt.




  Dulu Malaysia sebelum dijajah, apa jenis pemerintahan yang dijalankan? Sebelum Portugis, Belanda, dan British datang menyerang seluruh Nusantara ini, hukum apa yang dilakukan untuk mengawal tabiat laku manusia? Kita sedia maklum yang Tanah Melayu dulu dipegang oleh sultan yang beragama islam, golongan pemerintahan yang beragama islam, kerabat yang beragama islam, dan rakyat beragama islam. Jadi sudah tentunya pelaksanaan undang-undang islam dilakukan untuk memerintah negara. Pelaksanaan undang-undang  islam dapat diterjemahkan sebagai hukum hudud.







  Adakah Tanah Melayu huru-hara kerana hukum hudud? Adakah ekonomi Tanah Melayu akan merosot disebabkan hudud? Adakah orang Tanah Melayu akan berperangai macam orang gasar dan biadap? Adakah kebanyakan orang Tanah Melayu akan kudung tangan sebab dijatuhkan hukum hudud? Sudah tentu tidak. Kenyataannya hudud tidak menyebabkan sesuatu negara menjadi mundur.




  Pelabuhan di Tanah Melayu berkembang maju. Melaka menjadi sangat popular sehinggakan selat yang paling panjang di dunia digelar sebagai Selat Melaka. Pernah dengar mana-mana cerita dongeng Tanah Melayu yang rakyatnya kudung tangan? Jarang bukan. Kebanyakkan cerita rakyat banyak memperihalkan pengajaran mengenai nilai-nilai murni masyarakatnya yang penyayang, baik hati, lemah lembut, peramah dan lain-lain. Kerajaan yang bernaung di Tanah Melayu adalah aman sentosa dan makmur sejahtera kecuali kalau ada raja yang tidak ikut sistem pemerintahan islam. Raja yang menyalahi undang-undang islam akan menyebabkan kerajaannya menjadi rosak dan ditimpa bencana.





  Hakikatnya hudud tidak menyebabkan perkara negatif. Kalau orang bukan islam memandang serong, itu tidak pelik kerana mereka tidak memahami perkara keperluan dalam islam. Sudah semestinya mereka tidak menyokong hudud sebab bertentangan dengan kepercayaan mereka. Tapi kalau orang islam sendiri yang menolak hukum islam, mempersendakannya, menyokong orang yang mengutuk islam, adakah orang itu masih islam? Orang islam yang mengutuk agama sendiri, membenci orang yang melakukan suruhan dalam islam, menjauhi cara hidup islam, menghina golongan ulama' tapi masih mengaku sebagai islam. Syurga dituntut tapi amalannya tiada.





   Malaysia sudah pun merdeka. Penjajah telah pulang ke negara asal. Bangsa Melayu telah mengambil alih semula pemerintahan bersama-sama bangsa lain untuk mewujudkan perpaduan. Jadi kenapa Malaysia dikekang untuk melaksanakan undang-undang islam? Bukankah undang-undang islam merupakan cara pentadbiran dan pemerintahan tanah air tercinta ini. Kita mengaku merdeka tapi masih guna undang-undang hasil coretan penjajah yang sememangnya banyak mengandungi kemurkaan dan bertentangan dengan hukum syarak. Soal perpaduan bukan alasan untuk menangguhkan hukum yang diwajibkan. Islam tidak menyebabkan kaum lain bergaduh. Islam lebih suka mengambil pendekatan bertolak-ansur untuk mewujudkan persefahaman.





  Mereka yang mengatakan undang-undang islam hanya membawa kemusnahan ialah orang yang jahil. Hati mereka tidak dekat dengan islam dan tidak pernah berusaha untuk mendekatinya. Mereka tidak mahu mendalami islam dengan lebih terperinci, cukup hanya sekadar perkara yang menguntungkan sahaja. Kepentingan diri menjadi keutamaan, wawasan islam diketepikan.




  Adakah kita tergolong dalam kalangan orang yang mempersendakan agama atau berjuang di jalan Allah? Mulut kita boleh berbicara manis tapi hati boleh terdetik sebaliknya.

Tiada ulasan: