Anda percaya pada sejarah buku
teks?
Berasa bosan apabila membaca buku sejarah? Tak nak ambil subjek sejarah
dalam PMR dan SPM? Lemah dan malu dengan sejarah sendiri? Mengagumi sejarah
bangsa lain yang kelihatan lebih “superior”? memperlekehkan orang lain yang
cuba mengembalikan kegemilangan bangsa sendiri? Malah anda mula meninggalkan
warisan dan budi bangsa sendiri? Sudah mula terikut-terikut dengan budaya
bangsa penjajah?
Anda mungkin mengalami penyakit “malu tak bertempat”. Ya, anda malu
dengan diri sendiri. Anda malu apabila dilihat ketinggalan, kuno dan
kekampungan. Anda mula lemah dan percaya kata-kata mereka. Hati anda sudah
tergugah dengan keyakinan diri sendiri. Anda merasakan malu dan ego untuk
meletakkan kelemahan pada diri sendiri. Anda tidak akan pernah menyalahkan diri
sendiri. Anda merasakan diri sendiri yang betul. Maka, jalan yang paling mudah
ialah meletakkan semua kekurangan diri pada sejarah bangsa sendiri.
Anda kata bangsa kita tidak kuat. Bangsa kita dulu berperang guna
senjata kuno semasa menentang penjajah barat. Anda malu apabila melihat
rumah-rumah tradisional lama. Teknologi pembinaan bangsa kita di takuk lama dan
tidak ikut perkembangan. Anda berasa segan untuk mengenakan pakaian warisan
bangsa sendiri. Pakaian lapuk sedemikian tidak layak untuk dipakai. Lihat muka
anda di cermin. Ada iras-iras perempuan melayu. Tapi, anda segan untuk
mengakuinya. Maka, segala solekan tebal dikenakan untuk menutup “kecacatan”
tersebut. Anda juga sudah merancang pergi ke negara luar untuk satu pembedahan
muka.
Sungguh malu! Sungguh tidak sedar diri! Kamu malu dengan bangsa sendiri?
Kenapa harus malu dengan kelemahan bangsa sendiri? Bangsa kita tidak lemah,
hampir sebahagian nusantara pernah kita kuasai. Kita dulu pernah mempunyai satu
perlabuhan terkenal. Berapa banyak kerajaan agung pernah dibina di nusantara?
Kekuatan kita pernah mengentarkan bangsa-bangsa luar. Bangsa kita bukannya
tinggal dalam gua atau rumah pokok. Kita ada kota yang besar, sama taraf
hebatnya dengan metropolis kerajaan di sebelah barat. Bangsa kita ada tulisan
sendiri. Malah bahasa kita sendiri pernah menjadi bahasa terpenting di dunia.
Kelemahan diri kamu terletak pada diri kamu sendiri. Kamu yang buat diri
sendiri lemah. Kamu lemah kerana mudah tertipu dengan perkara muslihat. Kamu
lemah kerana mempercayai fitnah bulat-bulat tanpa ada unsur periksa. Kamu lemah
kerana tidak pernah berusaha untuk menjadikan diri kamu kuat. Kamu malas dan
hanya mengharapkan keajaiban datang. Jin Aladdin tidak akan membuat kamu jadi
kaya. Sihir Harry Potter hanya imaginasi kanak-kanak riang. Percayalah, kamu
lemah kerana minda kamu sudah lemah.
Kenapa kamu tidak pernah melihat bangsa sendiri daripada sudut positif.
Apabila pandangan kamu positif, maka kamu akan melihat cahaya yang akan
memimpin kamu ke arah kekuatan. Bangsa kita dijajah selama beberapa ratus tahun
(ikut fakta dalam buku teks). Cuba bayangkan dalam masa yang begitu lama, apa
pihak penjajah boleh lakukan? Sudah tentu pemikiran kita akan diracun. Kita selama
ini telah dicuci yang bangsa penjajah merupakan bangsa terhebat manakala bangsa
kita adalah bangsa yang kuno.
Kita semakin lemah apabila melihat bahan tinggalan sejarah di negara
kita. Apa yang telah ditinggalkan selama ini? Istana-istana kegemilangan Melaka
hanya tinggal dalam ukiran buku sejarah. Kehebatan ahli pendekar Melayu hanya
dicoretkan dalam buku hikayat. Kubur-kubur ahli kerabat diraja lama
kadang-kadang ada, kadang-kadang hanya tinggal khabar angin. Kita tengok
sekeliling kita. Apa yang ada untuk dibanggakan? Akhirnya, kita lemah untuk
bangkit. Kita tidak upaya untuk menghadapi muka bangsa penjajah.
Bangunan yang tinggi dan kukuh lama-lama akan roboh jua. Kehebatan seni
pecak manusia akan luntur dek usia. Akar jua akan mengelilingi kota-kota lama. Tapi
perkataan dalam buku akan tetap sama tanpa berubah sedikit patah pun. Kalau hendak
dicari kegemilangan sejarah kita, jangan cari kota-kota lama. Mungkin ia sudah
pupus ditelan zaman atau dibom oleh penjajah. Jangan dipusing-pusing mengenai
tapak perkuburan, mayat juga akan reput. Batu nisan mungkin akan dikebas orang.
Tapi carilah buku. Rujuklah hikayat. Tenunglah diari-diari lama. Di dalamnya
ada cerita yang kita tidak pernah tahu.
Jangan kata hikayat itu suatu dongeng. Jangan anggap cerita itu hanya
imaginasi penulis. Konsepnya mudah saja. Setiap cerita dalam hikayat itu pasti
mencerminkan cara kehidupan masyarakat lampau. Contoh yang paling mudah ialah
novel Ombak Rindu. Adakah watak-watak dalam Ombak Rindu benar-benar wujud dalam
masyarakat kita? Sepastinya novel itu hanya satu cerita rekaan mengenai cinta
romantik. Tapi adakah kisah jiwang itu boleh wujud dalam masyarakat kita? Ya,
sudah pasti kisah itu berdasarkan inspirasi yang berlaku dalam masyarakat kita.
Watak-watak itu hanya sekadar rekaan tapi inspirasi penceritaan mesti wujud,
kalau tidak macam mana penulis itu mahu mengarang. Sepastinya pengarang akan
mengarang cerita yang berlaku dalam kehidupannya.Jadi, gunalah perasaan hati
yang sensitif untuk menjumpai perkara tersirat dalam sesebuah penceritaan.
Adakah kita masih perlu percaya dengan sejarah buku teks? Saya tidak
ingin memaksa kerana sebuah perjalanan sejarah tidak akan sempurna. Pasti ada
lubang-lubang yang menghalang jalan cerita daripada lengkap. Sebenarnya sejarah
buku teks masih belum lengkap. Sebab itulah keyakinan terhadapnya
disangsikannya. Rasanya sudah tiba masa untuk kita melengkap perjalanan sejarah
kita.











Tiada ulasan:
Catat Ulasan