Sabtu, 8 Februari 2014

Hidayah itu umpama….


“Bukannya saya tak mahu pakai tudung tapi hidayah itu belum ada lagi. Saya pun belum bersedia untuk berubah. Biarlah keikhlasan itu datang dengan sendiri.”

   Selalunya kita akan terdengar jawapan klise sebijik macam ni kalau diajukan soalan ‘hidayah’ kepada selebriti di Malaysia. Rata-ratanya seolah menyalahkan hidayah dengan sebab mereka belum berhijrah lagi. Mereka lupa hidayah itu benda atau perkara ghaib. Mereka tak dapat melihat hidayah, mendengar bunyi hidayah atau menyentuh seinci pun kulit hidayah. Hidayah itu ghaib dan macam mana mereka begitu pasti dan yakin yang hidayah itu belum ada lagi.

   Hati, gunalah hati dan perasaan untuk merasai kehadiran hidayah dalam diri. Hidayah itu dilontar atau dicampak ke dalam hati, tempat yang paling berperanan besar untuk mempengaruhi baik buruk diri seseorang. Hidayah itu membuatkan kita ingin kembali pada tuhan, rasa dekat dengan masjid, rindu dengan al-Qur’an, takut nak membuat maksiat dan teruja nak mempelajari islam dengan lebih mendalam.

   Hidayah itu membuatkan hati terdetik untuk lebih beribadat, rasa ingin tahu tentang ilmu, dan tertarik untuk menghadirkan diri dalam majlis ilmu. Bukannya hidayah itu tiba-tiba akan menjelma dalam bentuk fizikal lalu mengheret kita ke masjid untuk bersolat. Itu namanya orang mengusung jenazah ke masjid untuk dibuat solat jenazah. Semuanya tentang kepekaan hati untuk mengesan wujudnya hidayah dalam hati.

   Anggaplah hidayah itu seperti buah segar yang baru gugur dari pohon. Betapa harum bau dan ranum isinya. Nak dikatakan bertuah, buah itu jatuh betul-betul di depan mata kita. Kita hanya perlu kutip dan bawa balik ke rumah untuk makan.

   Tapi kita tak nak ambil buah itu. Kita tak Nampak buah itu jatuh ke mana. Bunyi buah jatuh berdebuk pun kita tak dengar. Apatah lagi nak mencium bau kesegaran buah. Ruginya jika kita tak dapat mengutip buah itu hanya disebabkan mata tak nampak, hidung tak membau dan telinga tak mendengar.


   Begitu juga dengan hidayah. Sampai bila-bila pun kita tak akan dapat berubah jika kita membutakan mata dan mempekakkan telinga di depan anugerah hidayah. Kalau nak berubah, masanya adalah sekarang.

4 ulasan:

Aisy berkata...

mmmmm~ aisya dtg menerjah!

Amir berkata...

pergh, buat ambush mengejut!

Aisy berkata...

lama dah tak menerjah sini

Amir berkata...

nampak macam lama gak r tu.. busy kan?