Kerana ketakutanlah kita masih berada dalam dunia kegelapan. Kita takut untuk menghadapi perubahan dunia, kita takut untuk menerima hakikat dan kita takut yang kita akan ketinggalan. Kita takut dengan perkara di luar pengetahuan kita. Seolah-olah kita memandang dunia luar sebagai gelap gelita.

Orang penakut ni boleh diibaratkan sebagai orang buta di tengah jalan yang terang benderang. Jalan terang-terangan kelihatan tanpa sebarang kegelapan. Tapi mereka takut untuk meneruskan perjalanan ke depan mahupun ke belakang. Mata mereka buta untuk melihat apa di depan dan di belakang. Jadi mereka mengambil keputusan untuk terus tetap di tengah jalan tanpa beranjak sedikit pun.
Apabila ada orang ingin menolong mereka melintas jalan ke destinasi tertentu, mereka menolak dan ada kalanya, marah balik kepada orang tersebut. Mereka bimbang jika ditipu dan mengambil keputusan untuk tidak mempercayai sesiapapun. Akhirnya mereka akan kebuluran di tengah jalan ataupun ditimpa kemalangan oleh 'kenderaan' bersimpang-siur di atas jalan.
Adakah sifat penakut adalah sifat tercela? Aku kurang mahir mengenai perkara ini, tapi jelasnya ini adalah sikap buruk dan sifat buruk akan membawa kecelakaan. Apabila ketakutan menguasai diri, kita ragu-ragu terhadap kepercayaan dan akidah kita. Kita mudah terpengaruh dengan bisikan jahat yang dasarnya mahu memusnahkan kita. Kita akan menjadi orang yang hanya pentingkan diri sendiri semata-mata mahu menghilangkan perasaan takut ni.
Perasaan takut takkan hilang jika tiada keberanian dalam diri. Kita tak perlu nak cari keberanian itu ada di mana. Keberanian itu secara zahirnya sudah tertanam dalam diri kita. Kita hanya perlukan keluarkan keberanian dalam diri untuk melawan kejahatan di sekeliling kita. Dengan keberanian, kita tak perlu takut dengan kegelapan lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan