Jumaat, 30 Ogos 2013

Mana Jalur Gemilang?

                           

   Sebelum pilihan raya umum ke-13, aku melihat banyak bendera parti politik berkibaran di tepi jalan raya. Tak cukup di tepi jalan, mereka 'sangkut' di atas bukit, pacak di belakang kereta, pamer di kedai dan banyak lagi. Walaupun tarikh PRU13 masih lagi samar-samar, bendera sudah megah berkibar sejak dari tahun lepas lagi sampai ada yang sudah terkoyak ketika tarikh mengundi tiba.

   Gelombang biru, hijau, merah dan roket banyak menghiasi laman di jalanan kita. Tak cukup lagi kita buat flashmob untuk meningkatkan semangat orang ramai untuk menyokong parti pilihan masing-masing. Aku begitu gembira dan teruja melihatkan mereka semakin bijak menggunakan kuasa demokrasi dalam memilih kerajaan.

   Maka, dipendekkan cerita, PRU13 berlangsung. BN telah menang tipis dan hilang kuasa majoriti terhadap PR yang semakin meningkat dengan kekuatan tiga jentera besar dan berbisa, PAS, PKR dan DAP. Serentak dengan itu, bendera di tepi jalan perlahan-lahan lenyap untuk mengembalikan mood kepada asal untuk mengenepikan balik perasaan kepartian yang menebal.

   Sekarang, kita berada dalam bulan Ogos, iaitu bulan kemerdekaan bagi Tanah Melayu. Sayangnya, sebaik saja masuk bulan Ogos, aku terlupa sekejap bulan ni adalah bulan kemerdekaan. Aku tak rasa puasa dan hari raya adalah penyebabnya. Malah di kolej pun aku tak terasa semangat nak sambut merdeka. Bila aku keluar jalan, aku lihat kurangnya semangat patriotisme dengan sikitnya bendera Malaysia yang berkibar. baru aku perasaan, setakat ni, aku tak pernah mana-mana kereta di Shah Alam ada pasang bendera Malaysia.



   Mungkin semangat patriotisme tak perlukan bendera sebagai bukti kesetiaan. Tapi apabila masuk bab politik, mereka sanggup memasang bendera politik masing-masing walaupun ada cemuhan dan amaran daripada orang tertentu. Tak pernah aku dengar orang pasang jalur gemilang kena tahan polis, kena buang kerja atau kena kutuk. Tapi trelar ada bendera parti politik kena tahan polis trafik tu ada.

   Beribu-ribu tanya ke manakah perginya bendera Jalur Gemilang? Kini, orang ramai dah hilang keterujaan nak sambut merdeka. Kedatangan filem Tanda Putera pun tak banyak membantu sebab ada timbulkan isu perkauman yang boleh melagakan antara kita semua.

   Sepatutnya hari merdeka lebih meriah berbanding PRU13 sebab kita semua berkongsi bendera yang sama. Gelombang biru, hijau, merah, kuning dan lain-lain dah tak ada. Mungkin kita tak suka berkongsi dengan orang yang tak sekepala dengan kita. Kita degil nak pertahankan apa yang kita rasa betul sedangkan kita lupa, tujuan ketika PRU13 adalah untuk menjaga apa yang kita perolehi sekarang.

   Berbanggalah dengan kemerdekaan sekarang walaupun atas nama rundingan. Tak seperti Indonesia yang memiliki pahlawan-pahlawan garang yang berani menghalau Belanda setelah mereka datang untuk menuntut balik Indonesia setelah ditinggal kosong oleh Jepun.

   Kalau masa berpolitik kita megah dengan semangat parti untuk meraih kuasa, kenapa kita tak boleh bersatu ketika menyambut ulang tahun kemerdekaan untuk mengekalkan kuasa yang ada?

Tiada ulasan: