Rabu, 21 Ogos 2013

Iktibar dari Mesir

   Jatuhnya Hosni Mubarak tanda runtuhnya kuasa sekular. Bangunnya Dr. Morsi sebagai sinar baru dalam negara Mesir dan Palestin khususnya. Namun cahaya matahari hilang juga tatkala senja menjelang. Dr. Morsi juga dijatuhkan sebagaimana Hosni Mubarak jatuh.

   Bezanya Hosni Mubarak adalah seorang diktator manakala Dr. Morsi seorang pemimpin yang cuba berjalan di atas garisan Islam. Jatuhnya mereka kerana kuasa rakyat memberontak menuntut perubahan yang lebih baik. Namun, kuasa demokrasi itu amat buruk jika pemegang kuasa itu merupakan seorang yang sering melanggar hukum Allah.

   Kuasa demokrasi tak dapat dikatakan adil atau saksama kerana rakyat adalah golongan yang mudah diperdayakan. Lebih-lebih lagi bagi mereka yang terlekat hati dengan dunia dan hanya mengikut hawa nafsu. Bagi mereka Islam bukan cara hidup yang diinginkan kerana tak mahu diikat dengan peraturan yang melawan hawa nafsu.

                                              

   Bagaimana jika majoriti rakyat adalah mereka yang datang daripada golongan tersebut? Maka, pemerintahan kuku besi akan bermaharajalela dan kuasa Islam akan direndah-rendahkan. Mereka tak kisah dengan nasib orang lain asalkan diri sendiri boleh hidup dengan selesa. Oleh sebab itulah langkah menaikkan syiar Islam melalui jalan demokrasi tak beberapa berkesan.

   Buktinya Dr. Morsi yang bangkit untuk berjuang menegakkan Islam terpaksa "turun" balik atas desakan tentera dan demokrasi rakyat. Seolah-olah ini memberi gambaran menguasai pentadbiran negara masih belum cukup untuk membuat apa-apa jika rakyat tak setuju. Opps, silap, bukannya rakyat tak setuju, tapi para kroni dan kapitalis yang tak setuju.

   Rakyat tak setuju bukannya ada kuasa untuk menghalang program yang diaturkan oleh kerajaan. Tapi kalau pihak kapitalis tak setuju, mereka ada kuasa wang dan pengaruh untuk mempengaruhi rakyat supaya mengganas serta menghenti apa-apa bantuan terhadap kerajaan.

   Rumusannya, untuk mengislamkan sesebuah negara, harus bermula daripada hati seseorang lagi. Kekuatan batang pokok kerana keteguhan akar umbinya. Kekuatan negara islam kerana rakyatnya adalah seorang yang taat dalam beragama. Seolah-olah para ulama dan penggerak jihad perlu memperlahankan keghairahan dalam mengejar kuasa dan kedudukan dalam kerajaan.


                    


   Sebaliknya mereka perlu memenangi hati setiap rakyat dengan memperhebatkan dakwah kepada mereka. Islamkan mereka semula kerana mereka sudah jauh daripada jalan benar. Kalau kita begitu bersemangat dalam aktiviti politik sehingga sanggup berkorban masa dan tenaga untuk memenangi PRU, kenapa tidak dalam aktiviti dakwah yang sangat dituntut?

   Kita tidak akan ke mana-mana jika menganggap diri kita selalu betul, dan keras kepala nak terima nasihat orang lain.

Tiada ulasan: