Jumaat, 14 Disember 2012

Belajar untuk bekerja


    Apa tujuan sistem pendidikan Malaysia? Adakah untuk melahirkan para pemimpin yang berwibawa atau untuk menjana pekerja-pekerja yang berkemahiran tinggi? Senang untuk mengetahuinya. Cuba kau ponteng sekolah sekali (sebarang kesan atas tanggungjawab sendiri). Apa yang orang lain akan kutuk?

  “budak tu ponteng sekolah lagi. Takde masa depan dah tu.”

  “sahih dah budak tu takde kerja nanti.”

  “camne budak tu nak hidup dah besar nanti. Entah-entah jadi pencuri kat taman kita pula.”

    Nampak bukan? Sistem pendidikan memang untuk melahirkan pekerja-pekerja yang begitu mendengar kata. Kau tak ada sijil SPM, kau memang tak boleh dapat kerja. Ironinya, para graduan yang merangkul sijil ijazah dan masters sekalipun payah nak dapat kerja di Malaysia. Salah majikan yang begitu cerewet atau orang Malaysia yang terlalu manja? Mungkin dua-dua sekali ada salah dan betulnya.

    Kita sudah tahu sistem pelajaran Malaysia untuk melahirkan para pekerja. Jadi adakah kita ingin menjadi pekerja yang hebat dengan mesin tapi lemah dengan manusia atau pekerja yang benar-benar berfikir? Pekerja yang hebat dengan mesin mempunyai sikap kerja yang bagus. Mereka tahu etika kerja. Mereka mengamalkan peraturan kerja dengan bagus sekali. Mereka begitu mematuhi arahan bos sehingga menjadi workaholic.

    Tapi sayangnya mereka hanya sekadar robot yang begitu sempurna. Mereka gagal dalam kehidupan seharian. Mereka lebih mementingkan kerja daripada mengutamakan kehidupan masing-masing. Bagi mereka, kerja itu lebih baik buat mereka daripada meluangkan masa untuk orang tersayang. Hidup mereka hanyalah untuk bekerja. Mereka tidak sedar, kerja mereka hanya menguntungkan sedikit sahaja. Mereka hanya memperoleh faedah yang sedikit sahaja daripada titik peluh mereka selama ini. Yang bertambah kaya, bos mereka. Mereka tetap berhutang untuk membeli rumah dan kereta. Bos mereka? Hanya perlu bayar tunai untuk beli banglo atas bukit. Hebat bukan?

   “duit bukannya segala-galanya, tapi tanpa duit keyakinan kita akan goyah.”

    Yang bagus, cubalah menjadi pekerja yang benar-benar berfikir. Kita perlu sedar bekerja itu juga penting kerana hasil pekerjaan itu untuk menyara kehidupan. Tapi jangan terlalu tamak sehingga mengabaikan keperluan diri. Sedarlah bos kita hanya melihat kita sebagai pekerja setia iaitu lubuk duit. Tenaga kita dikerah untuk memperoleh keuntungan maksima tapi adakah kita turut menuai hasilnya?

    Teori belajar untuk bekerja tidak beberapa sesuai untuk diamalkan. Ia mungkin akan berkesan untuk beberapa tahun kita bekerja tapi mampukah kita bertahan sehingga pada usia dimamah penuaan? Lagipun ilmu yang kita belajar perlu ikhlas diamalkan bukannya sekadar untuk lulus atas kertas peperiksaan. Orang yang belajar untuk bekerja jarang-jarang yang berjaya. Mereka hanya sekadar mempunyai impian yang rendah. Matlamat mereka tidak setinggi dengan taraf keupayaan mereka. Cuba tengok mereka yang sudah berjaya di peringkat global. Pendidikan mereka tidak tinggi tapi akhirnya berjaya mencatat kejayaan sebagai orang kenamaan.

    Mereka yang belajar untuk bekerja akan cepat putus asa. Contoh dalam satu situasi. Katakan Malaysia memerlukan tenaga perubatan yang ramai dan bidang ini amat kritikal tenaga kerjanya. Maka berduyun-duyun pelajar memohon dalam bidang perubatan. Harapan mereka untuk mengisi peluang pekerjaan yang luas kerana tenaga kerjanya amat sedikit. Jadi sudah tentu permohonan untuk bekerja amat cerah peluang untuk diterima. Hospital pasti akan menerima mereka walaupun pekerjaan seorang doktor amat perit sekali.
  
  Tiba-tiba pelajar yang dulu memohon bidang perubatan di universiti telah menerima satu berita buruk. Tenaga kerja doktor sudah mencapai tahap piawaan. Bidang perubatan di Malaysia sudah semakin stabil. Malah bilangan doktor sudah semakin bertambah dan melebihi daripada apa yang diinginkan oleh pihak kementerian kesihatan. Sedangkan mereka yang memasuki bidang perubatan sudah masuk ke tahun kedua. Mereka sudah tidak dapat berpatah balik. Mereka perlu bersaing dalam kelompok besar untuk mengisi peluang pekerjaan doktor yang semakin mengecil.

    Tekanan mereka semakin bercambah. Masalah semakin bertambah. Peluang pekerjaan semakin gelap. Belajar dalam bidang perubatan merupakan satu keperitan yang amat. Tugas semakin banyak. Malah pengorbanan sebagai doktor terlalu besar tapi tidak setimpal dengan gaji yang akan diterima. Akhirnya, mereka berhenti di separuh jalan. Mereka pergi bagai layang-layang terputus tali. Mereka kesal dan bingung dengan hala tuju hidup. Siapa pula yang masih kekal dalam bidang perubatan walaupun tekanan semakin meninggi? Hanya mereka yan betul-betul berminat dengan bidang ini sahaja akan terus berada sehingga ke tahun akhir. Impian mereka untuk bergelar sebagai doktor sebagai punca kekuatan untuk terus berada pada landasan yang sungguh mencabar.

    Kita jangan pilih bidang pelajaran mengikut situasi permintaan pekerjaan sekarang. Ini kerana situasi tersebut boleh berubah dari masa ke masa. Katakan tahun ini kerajaan mengumumkan pekerjaan akauntan dan pertanian sangat kritikal. Lima tahun dari sekarang angka tersebut akan berubah. Statistik bidang kritikal akan bergerak dari tahun ke tahun. Jadi, kita perlu berfikir ke masa hadapan. Fikiran kita perlu merenung jauh. Jalan paling selamat adalah memilih bidang yang sesuai dengan jiwa kita. Pilihkah bidang yang kita suka. Buat perancangan pelan bidang kesukaan. Kalau pelan pertama ditolak, kita masih ada pelan kedua dan seterusnya.

    Gaji? Mengapa terlalu awal berfikir mengenai gaji? Kita baru sahaja nak belajar, takkan sudah bertanya mengenai gaji. Jangan bimbang, gaji akan meningkat seiring dengan prestasi kerja kita. Gaji permulaan memang agak mengecewakan. Relaklah. Takkan gaji pertama sudah hendak dibandingkan dengan para pengawai atasan. Mereka sudah lama bekerja dan banyak pengalaman. Kalau kita mempunyai prestasi kerja yang memberangsangkan, pandai bergaul dengan pekerja, pandai ambil hati bos (bukan bodek, tapi jaga komunikasi dengan bos), peluang nak gaji tinggi itu ada.

    Percayalah, semua bidang menjanjikan pendapatan lumayan. Syaratnya kita perlu pandai meneroka bidang tersebut dengan betul. Ramai orang melihat seni lukisan sebagai bidang pinggiran. Tapi ada juga seniman yang memperoleh gaji tinggi. Ada lukisan yang dijual dengan harga ratusan ribu. Malah komik mangaka dari Jepun sudah menakluk banyak negara di atas dunia ini. Yang penting kita tahu bakat kita, cara mengembangkannya dan beberapa aspek penting, tidak perlu diabaikan.

    Buat mereka yang sudah belajar untuk bekerja, jangan berputus asa. Anda tidak perlu berpatah balik. Yang penting kuatkan semangat untuk terus berada dalam landasan itu. Mungkin ada hikmah mengapa kita berada di situ. Kita mempunyai akal fikiran dan boleh berfikir dengan rasional mengapa kita boleh berada dalam bidang tersebut walaupun tidak suka. Hikmahnya tidak akan datang dengan segera. Hanya masa menentukannya. Tanamkan keyakinan yang tinggi untuk menyukai bidang tersebut. Tiada kehidupan yang mudah untuk kita terus berjaya. Setiap perjalanan ada pahit getirnya kerana manisnya sedang menunggu kita di akhir landasan.

   Percayalah, tiada apa yang terlambat selagi kita terus percaya dan yakin.

   Jadilah pekerja yang berfikir. Mungkin kitalah yang akan dibentuk menjadi pemimpin negara yang berwibawa.

Tiada ulasan: