Isnin, 3 Disember 2012

Api dan air tidak pernah berkawan


Api dan air tidak pernah berkawan





   Api dan air salah satu elemen penting dalam kehidupan. Unsur-unsur terbabit amat berguna dalam kehidupan seharian kita. Api dapat memanaskan badan kita dan digunakan dalam industri teknologi tertentu manakala air digunakan sebagai bahan minuman dan kegunaan lain dalam seluruh aspek bidang di dunia.






  Secara logiknya, api dan air tidak pernah bersatu. Api tidak boleh wujud jika air ada bersama. Air pula tidak akan kekal lama dengan api. Kedua-dua elemen ini sudah ditakdirkan tidak dapat bersama-sama biarpun kedua-duanya amat berguna kepada manusia. Jadi,mustahil mereka yang bersifat ‘api’ dapat bersama atau berganding bahu dengan orang bersifat ‘air’.






  Contohnya jika ada seseorang ingin menentang kejahatan untuk mengembalikan keamanan tempatnya. Dia tidak akan pernah berhasil mengalahkan kejahatan jika dia sendirilah punca kejahatan itu. Mana mungkin orang yang melakukan kejahatan tiba-tiba mengajak orang ramai agar membasmi kejahatan. Jika betul-betul dia ingin mengatasi kejahatan di tempatnya, diri dia sendiri perlu meninggalkan kejahatan tersebut.






   Dalam kehidupan ini, kita perlukan seseorang yang tidak hipokrit dalam kehidupan. Seharusnya mereka tidak bersikap muka dua talam. Sikap ini tidak menguntungkan mana-mana pihak sekalipun. Hanya kerugian yang akan menimpa. Contohnya, sebuah sekolah memerlukan sepasukan pengawas yang baik. Pengawas perlu mencegah kegiatan tidak baik dalam kawasan sekolah untuk memelihara kecemerlangan kebistarian sekolah. Tapi suasana itu mungkin tergugat jika pengawas itu sendiri melakukan perkara jahat seperti buli, ponteng, menipu dan lain-lain. Masalahnya, orang-orang seperti pengawas inilah yang selalu mendapat perhatian, kepercayaan, pujian daripada orang lain.






  Kita harus bijak menilai siapa ‘api’, siapa ‘air’. Mustahil untuk ‘api’ menyokong ‘air’, atau ‘air’ menyokong ‘api’. Jika kita betul-betul ingin kembali ke jalan yang benar, kaji selidiklah dirimu sebelum melihat orang lain. Ingatlah, maksiat tidak pernah hadir bersama dengan iman dalam hati dalam satu masa. Sama ada iman atau maksiat yang menguasai hati tersebut, kita yang menentukannya. Orang yang berhati maksiat, sentiasa gelisah dengan perkara bersifat soleh dan sentiasa ingin menghapuskannya. Orang yang berhati iman akan gerun terhadap maksiat dan sedaya upaya lari daripadanya.







   Wahai orang berhati maksiat, tinggalkan perkara kemaksiatan sebelum terlambat. Cucikanlah hati kita yang hitam pekat dengan perkara terpuji. Jika kita sudah mula berasa gelisah dan tidak tenteram, ini maknanya hati maksiat sudah tergugat dengan kesucian iman. Cepat-cepat singkirkanlah kemungkaran dalam hati kita demi membawa kejernihan iman dalam hati kita.






   Wahai orang berhati iman, jangan kita cepat terpedaya dengan pujukan nafsu. Maksiat yang akan menguasai diri kita hanya untuk membinasakan diri kita dalam lembah kehinaan. Larilah dari kemungkaran. Cegahlah kemungkaran dengan sedaya upaya. Lakukanlah perkara-perkara suci agar keimanan kita sentiasa mantap.

InsyaAllah....

Tiada ulasan: