SPR baru saja mengumumkan tarikh berkaitan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14. Tarikh penamaan calon pada 28 April, tarikh pengundian awal pada 5 Mei dan tarikh pengundian PRU 14 pada 9 Mei. SPR juga membuat sasaran peratusan keluar mengundi adalah 85%. Persoalannya kenapa hari mengundi jatuh pada hari Rabu?
Hahaha, sebenarnya aku tak adalah nak mempertikaikan tarikh atau hari mengundi. Itu hak SPR untuk menentukan apa tarikh yang kelihatan sesuai. Aku timbulkan persoalan ini sebab aku tengok feeds aku di Facebook dan Twitter banyak mencemuh dan mempersoalkan kenapa hari mengundi itu hari Rabu. Ya, hari Rabu, hari di mana budak-budak sekolah kena pergi kelas dan hari mak bapak budak-budak ni pergi bekerja (orang bujang pun pergi bekerja juga hari Rabu). Ramai minta nak hari mengundi jatuh pada hujung minggu, hari Sabtu atau Ahad.
Aku secara peribadi tak kisah nak mengundi hari Rabu atau tak. Aku memang akan keluar mengundi sebab aku dah daftar mengundi dari tahun lepas lagi. Tarikh 9 Mei itu hari lapang aku sebab aku masih bercuti. Kali pertama pula UNITEN bagi cuti sebulan. Jadi bukan masalah besar bagi aku nak keluar mengundi. Aku boleh pergi ke tempat mengundi pada waktu pagi, tengahari atau petang. Okay saja.
Hari Rabu ni akan bagi masalah kepada sesetengah golongan. Pertama, mereka yang bekerja di bandar tapi alamat mengundi di kampung. Masalah ni banyak berlaku kepada orang Kelantan yang keluar merantau ke negeri lain. Mereka bekerja dan tinggal di negeri lain tapi alamat di IC masih lagi berjiwa Kelantan. Kalau hari hujung minggu untuk keluar mengundi bukan satu masalah bagi mereka tapi kalau mengundi hari Rabu, itu memang masalah besar. Masa perjalanan ke Kelantan bukannya sekejap. Silap haribulan jalan boleh jadi jem gila sebab ramai orang turun mengundi. Selasa malam bertolak ke Kelantan, pagi Rabu keluar mengundi, tengahari Rabu terus balik ke tempat negeri masing-masing, hari Khamis terus masuk pejabat. Itupun kalau bos bagi cuti sati hari Rabu tu.
Golongan kedua pula adalah pelajar. Pelajar macam aku tak ada masalah sebab UNITEN tengah cuti masa tu. Rasanya politeknik pun tengah bercuti masa tu. Kalau pelajar daripada universiti lain aku tak tahu sangat. Pelajar ni bukannya golongan mewah yang boleh beli tiket pergi balik semata-mata nak balik mengundi. Kadang-kadang ada jenis pensyarah tak kisah la hari tu Malaysia hujan panas ke, kalau ada kelas wajib pergi kelas. Hahaha, nasiblah korang kalau dapat pensyarah macam tu. Nasib baik aku takde pensyarah macam ni.
Golongan lain yang payah nak turun mengundi tu aku tak tahu sangat selain daripada dua golongan ni. Kalau yang tinggal di negara luar macam London, korang boleh jer nak undi pos. Tapi aku tak tahu la pakai pos laju ke GDex. Hehe, gurau jer. Bagi pendapat aku, golongan pertama ni boleh jer ambil iktibar daripada peristiwa mengundi hari Rabu ni. Pastikan alamat korang sama dengan alamat tempat tinggal semasa, bukannya alamat kampung. Mungkin nasihat ni kurang bernas tapi paling tidak tak ada masalah untuk masa akan datang. Untuk golongan kedua ni, aku harap korang minta cuti daripada universiti terus untuk hari Rabu. Kalau korang percaya undi korang adalah undi untuk kemakmuran dan kestabilan negara, korang kena berkorban masa dan tenaga untuk balik ke rumah dan mengundi. Jangan pula korang cuti hari Rabu sampai ke hari hari Ahad. Itu bukan pelajar, itu pemalas nak belajar.
Dekat media sosial, ada gerakan yang lahir disebabkan isu mengundi hari Rabu. #pulangmengundi dan #carpoolGE14 diwujudkan untuk memudahkan korang balik dan mengundi pada hari Rabu. Gerakan ni datang daripada rakyat, bukan dibiayai oleh siapa-siapa, kepada rakyat yang percaya kepada kuasa undi dan demokrasi. Lagipun ada sesetengah parti politik, dari pihak kanan, kiri atau tengah, yang akan bagi duit saku atau duit tambang untuk korang balik mengundi.
Makanya tak usahlah korang nak marah dekat sesiapa lagi. Korang marahlah macam mana pun, hari mengundi tetap hari Rabu. Daripada korang marah, lebih baik cari ikhtiar macam mana nak balik mengundi.
Cerita 3 juta rakyat Malaysia tak daftar mengundi macam mana pula?
Pssttt, cuba teka aku nak undi parti mana?
Tiada ulasan:
Catat Ulasan