Assalamualaikum wbt...
Apa kata pada artikel kali ini kita berfokus pada topik perkahwinan yang di mana siapa yang patut memilih jodoh? Sama ada tuan empunya badan atau jodoh di tangan bapa? Apa pun, jodoh itu sudah ditetapkan oleh ALLAH SWT di azali. Kita hanya mampu merancang dan jangan pula menyalahkan takdir jika hajat di hati tak kesampaian. Tak manis begitu. Usaha perlu tapi keikhlasan yang penting.
Perkahwinan merupakan suatu ikatan suci yang menghubungkan antara lelaki dengan perempuan dan menghalalkan tuntutan keperluan jasmani, emosi, serta fikiran.Setelah terlafaz ucapan ijab dan kabul, maka sahlah ikatan perkahwinan atas nama cinta.Jadi bermulalah kehidupan berumah tangga yang penuh pahit manis. Persoalannya di sini, dengan siapakah akan kita berkahwin? Adakah dengan orang yang kita cintai ataupun ketetapan jodoh yang diatur oleh ibu ayah?
Soal pemilihan pasangan sehingga ke akhir hayat amat penting kerana melibatkan hal kebahagiaan dalam melayari bahtera perkahwinan. Ada yang percaya cinta akan menjanjikan kehidupan yang indah. Jadi, mereka sedaya upaya menjadikan cinta mereka direalisasikan di atas pelamin walaupun ditentang oleh keluarga sendiri. Sadis, bukan? Ada juga percaya restu keluarga menjadi kunci kebahagiaan hidup di dunia dan di akhirat. Maka di sini, yang manakah lebih baik? Sama ada pilihan sendiri ataupun pilihan keuarga?
Kebanyakkan pasangan suami isteri pada era ini dimeterai atas dasar cinta. Ini sudah mengandaikan pilihan sendiri merupakan pilihan terbaik.Tidak kiralah sama ada cinta pertama atau cinta terakhir, pokoknya mereka dapat bersama dengan orang yang disayangi. Perkahwinan merupakan iktan yang mengikat mereka sampai ke akhir hayat. Hanya mati atau perceraian menjadi pemisah. Oleh sebab itu mereka cuba mencari cinta yang dapat berkekalan lama iaitu cinta sejati. Tetapi pencarian cinta sejati bukanlah semudah yang disangka tapi tidaklah sesukar yang dibayangkan. Hal ini memerlukan usaha yang berterusan dan sedikit kebijaksanaan berhikmah. Ini disebabkan cinta sejatimemerlukan komitmen tinggi daripada kedua-dua belah pihak. Apabila si A melafazkan ucapan keramat AKU CINTA PADAMU, maka si B akan menjawab AKU JUGA MENCINTAIMU. Oleh sebab itu ramai orang tersungkur di tengah jalan. Perahu yang didayung karam kerana kayunya retak menanti belah; tak sampai di seberang sudah tenggelam tak timbul-timbul. Tidak kira juga ada yang lemah dengan pujukan hawa nafsu dan godaan licik syaitan. Akhirnya mereka hidup diulit dosa dan maksiat yang berterusan.
Tidak pula dapat dinafikan pilihan ibu bapa juga yang terbaik. Hal ini kerana pilihan sendiri dibuat secara membabi buta. Sebab itulah ada orang kata cinta itu buta. Butanya cinta itu sehingga kita terpaku untuk melihat kebenaran. Mereka yang dibutakan oleh cinta sanggup menuruti kemahuan tersayang biarpun terpaksa mengorbankan diri sendiri. Jadi, kita janganlah cepat melatah apabila ibu bapa cuba mencari jodoh untuk kita. Kononnya, kita beranggapan, perkahwinan itu lebih bahagia dengan cinta. Sebenarnya ibu bapa ialah orang yang paling dekat dan memahami diri kita. Mereka lebih jelas dengan dengan kemahuan dan kehendak naluri kita. Sebaliknya kita pula tersasar jauh dari kehidupan yang diimpikan hanya ingin berkahwin dengan pilihan sendiri. Orang-orang tua pernah berkata, "ikutkan hati mati, ikutkan rasa binasa." Seeloknya kita jangan cepat nak menyanggah pilihan keluarga tetapi buatlah penilaian terlebih dahulu. Siapa tahu, mungkin dia jodoh sebenar kita.
Konklusinya, perkahwinan itu akan ditiupi layar kebahagiaan jika pengemudi tahu mengemudi ke arah haluannya. Sama ada pilihan sendiri atau ibu bapa, bukan menjadi soal 100% kebahagiaan hakiki dalam memikul amanah. Apa gunanya hidup bersama orant tersayang jika hidup melarat. apa gunanya bersetuju dengan pilihan keluarga jika hati derita. Kesudahannya, hajat tak capai, hati sengsara. Jadi perkahwinan juga memerlukan komitmen lain seperti soal kewangan, kematangan, persediaan mental dan rohani serta tahap di mana kita boleh hidup sebumbung. Baharulah perkahwinan yang sempurna dapat dibina biarlah tidak selengkap mana yang diharap.
Sekian terima kasih daun keladi kerana sudi membaca blog ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan