Ahad, 9 Mac 2014

Menjadi orang hebat

   Orang yang hebat tak perlu memegang jawatan tinggi untuk berkuasa, cukup sekadar mempengaruhi orang lain untuk menjadi lebih hebat daripadanya. Biasanya orang yang hebat lebih suka dirujuk kepada orang yang ada duit banyak, kuasa besar, atau populariti tinggi.

Sukarno

   Sebenarnya orang yang hebat ini membawa pengaruh dan boleh mengubah keadaan semasa. Orang yang hebat boleh datang dari pelbagai jenis latar masyarakat merangkumi politik, ekonomi dan sosial. Orang yang hebat tidak menjadi boneka untuk menjadi orang suruhan demi menjayakan agenda masing-masing. apa guna dikenali ramai dan ada duit banyak jika tiada kebebasan untuk membuat pilihan.

   Selalunya orang yang hebat tidak terperangkap dengan keadaan semasa. Mereka tak perlu menjadi pak turut semata-mata nak meraih perhatian dan publisiti murahan. Bagi mereka, untuk mengubah dunia menjadi lebih baik tak hanya bergantung kepada kuasa di tangan dan kekayaan di dalam akaun bank.

   Aku pun nak juga menjadi orang yang hebat. Aku sukakan bidang pendidikan tapi tak suka jadi cikgu sebab tak tahu nak mengajar budak-budak dengan betul. Sistem pendidikan kita memang kurang menepati objektif asal kerana lebih mementingkan pencapaian berbanding kelebihan yang ada dalam diri pelajar.

   Hanya budak dapat 8A+ disanjung. Hanya budak aliran sains dipuji. Hanya budak SBP menjadi harapan negara. Ini semua tak kena dan perlu dibetulkan. Mereka harus dibentuk mengikut kelebihan masing-masing dan sama-sama menjadi tonggak kejayaan negara. Bidang muzik, seni, sukan, dan lain-lain harus sama-sama diberi perhatian kerana turut menyumbang peranan dalam negara.


Martin Luther King Jr

   Pembentukan PBS lebih bersifat teori daripada praktikal. Tak apa sebab ini mungkin kali pertama kerajaan cuba menjalankan dasar sebegitu untuk mengubah pandangan jumud terhadap pendidikan negara. Kalau perlaksanaan pertama gagal, cuba pelan kedua untuk jayakan misi memartabatkan pendidikan di Malaysia. Dapatkan input pandangan cikgu dan pelajar tentang kelebihan dan kelemahan, bukannya hanya sekadar duduk dalam pejabat sambil tunggu keputusan keberhasilan sesuatu sistem.

   Aku tak pasti sama ada nak menjadi menteri pendidikan atau tenaga pengajar untuk memperbaiki sistem pendidikan negara. Rasanya semua generasi muda nak ubah sistem kita menjadi lebih baik dan bukannya nak mencemuh sistem lama. Kami tak nak generasi akan datang dipanggil pelajar 'lab rat' untuk menguji sesuatu dasar tanpa berfikir panjang, seperti yang pernah berlaku pada sistem PPSMI.

Tun Dr Mahathir

   Yang pasti arah perjalanan aku menuju ke bandar mekanikal. Hidup aku lepas ni akan dipenuhi mesin dan peralatan canggih. Menjadi engineer bukan cita-cita asal aku tapi tak bermakna pula aku harus mengalah untuk melihat dunia kita mengecapi sesuatu perkara yang mudah.

   Kalau boleh aku menjadi orang hebat untuk mempengaruhi orang lain untuk menjadi lebih superior daripada aku. Aku bangga dengan para cikgu sebab mereka ada ciri-ciri orang hebat. kecekalan mereka berjaya membentuk anak-anak muda menjadi orang lebih hebat daripada mereka tanpa meminta apa-apa balasan.

Tiada ulasan: