Jumaat, 18 Mei 2012

Kebahagiaan itu...... MeMoRi yang terindah

Assalamualaikum wbt

Macam mana dengan perjalanan hidup sekarang? Adakah masih berada di landasan lebuh raya yang lurus? Atau sudah menyimpang ke persimpangan lain untuk mencari sesuatu? Kalau begitu, bagaimana cara untuk kita kembali ke lebuh raya kalau diri sudah terlajak jauh ke tempat lain? Malah, masih leka di tempat itu walau perjanjian untuk bertemu di sana hampir berkunjung tiba?

Adakah kita mencari kebahagiaan di jalan lain? Jadi apakah kita sudah yakin inilah persimpangan yang dinanti-nantikan? Usahlah begitu. Percayalah dan yakinlah jalan yang lurus sudah pasti membawa kita ke destinasi yang ditujui dengan selamat serta cepat. Berhibur seketika itu tidak salah, sekiranya kita terlalu penat dengan perjalanan. Berhenti rehat ketika penat sudah menguasai seluruh badan. Carilah tempat rehat yang lengkap segalanya. Maksudnya, ada restoran untuk tempat kita makan, ada surau kita solat, ada tandas untuk kita membersihkan diri.

Adakah kita yakin inilah perjalanan yang akan membawa kebahagiaan hakiki. Percayalah, kebahagiaan itulah bukanlah harta kekayaan yang melimpah ruah kerana harta itu akan habis jua. Malah, istilah kekayaan sering bergilir ganti mengikut musim kebangkitan tamadun. Dulu kita menggunakan duit syiling, kemudian emas, seterusnya duit kertas dan sekarang duit elektronik(kad kredit). Kekayaan juga sering menimbulkan kegelisahan di hati kerana bimbang harta ini akan dirompak. Kerana kekayaanlah kita menjadi bongkak dengan manusia lain, kita sombong dengan perintah tuhan, kita jadikan rakan-rakan sebagai sumber pendapatan duit. Walaupun sebanyak mana duit yang kita ada, kita tak mampu untuk membeli kasih sayang. Bak kata pepatah, tubuhnya sudah kunikmati tapi hatinya belum kurasai.

Cuba fikirkan, perkara apa yang sering kita ketawa dan senyum gembira? Perkara yang selalu buat kita riang hati walau ada dugaan menimpa. Normalkah untuk seseorang tersenyum dan ketawa seorang diri apabila melihat duit? Kalau seseorang itu terkenang peristiwa silam, itu adalah normal kerana kebahagiaan itu terletak pada memori yang terindah. Memori itu merupakan sejarah masa lalu, yang tidak dapat diubah tapi dapat dikenang sebagai iktibar dan pengajaran.

Bayangkan kalau masa dulu kita merupakan seorang yang lalai daripada perintah Allah swt. Jarang-jarang mengerjakan perintahNya dan selalu membuat perkara maksiat. Jadi, adakah kita akan tersenyum apabila mengenangkannya? Sudah pasti air mata akan menitis, raut wajah akan berubah ketakutan dan perasaan menyesal akan datang menerpa. Mengapa aku boleh menjadi begitu rupa? Ke manakah perginya keimanan aku? Adakah aku sudah hilang perasaan malu dan sanggup buat apa sahaja. Jadi, kita menjadi begitu berat dan teragak-agak untuk menceritakan kisah silam kita kepada orang lain.

Lain pula dengan insan yang memiliki memori terindah. Mereka sering terkenang dengan cerita lepas. Mereka begitu bahagia dengan masa silam berbanding dengan masa sekarang. Mereka menjadi tabah dan kuat seandainya berlaku musibah kepada mereka, walau seteruk manapun. Sebabnya mereka sudah terpesona dengan kebahagiaan masa lalu dan ingin mengecapinya lagi pada masa sekarang. Setiap masa mereka akan menceritakan peristiwa yang membuatkan mereka boleh mencapai kebahagiaan sampai pada hari ini. Bagi mereka, duit bukanlah segalanya tapi kebahagiaan itu yang terindah.

Jadi, adakah kita sudah bersedia untuk menikmati kebahagiaan sekarang? Kumpul lah harta banyak-banyak untuk kesenangan supaya kita tidak mengemis tapi janganlah terlalu mewah sehinggakan memandang hina kepada orang di bawah. Cubalah untuk mencipta memori yang terindah.

Tiada ulasan: